Tekanan Ketika Memandu Di Jalan Raya

Dahulu saya selalu mengalami tekanan (stress) ketika memandu di jalan raya, terutamanya di Lembah Klang. Saya tidak faham dengan sikap pemandu kenderaaan dan penunggang motosikal yang, bagi saya, kebanyakannya boleh dikatakan biadap. Ianya berlawanan dengan sifat rakyat Malaysia yang terkenal baik hati dan bersopan santun. Saya tidak tahan dengan cara mereka memandu atau menunggang, yang bagi saya boleh menyebabkan kemalangan. Pendapat saya ini disokong oleh kajian yang dijalankan oleh pakar keselamatan jalan raya. Mengikut kajian di Malaysia, 65% daripada kemalangan jalan raya berpunca dari kesilapan pemandu/penunggang, 2% berpunca dari masalah kenderaan, 5% berpunca dari keadaan jalan raya dan 28% disebabkan oleh gabungan punca-punca tersebut. Secara keseluruhan, pengguna jalan raya menyumbang 90% kepada punca kemalangan.

Satu dari sikap buruk mereka, yang saya tidak suka, ialah memotong barisan sesuka hati. Kita dah berpuluh minit menunggu dengan sabar, tiba-tiba dia datang “mencilok” di hadapan. “Orang lain pun nak cepat juga, bukan awak sorang”, inilah ayat marah yang biasa terkeluar dari mulut saya. Perbuatan “mencilok” ini boleh menyebabkan kemalangan dan kesesakan. Tidak kurang juga yang suka memotong walau hanya terdapat sedikit ruang, tidak kira dari kanan atau dari kiri. Mereka tidak hiraukan keselamatan orang lain, yang mereka fikir adalah untuk cepat sampai ke destinasi mereka.

Satu lagi tabiat pemandu yang saya tidak suka, walaupun tidak boleh dianggap kurang sopan, ialah sikap mereka yang suka “menyibuk”. Perbuatan tersebut sering menyebabkan kesesakan jalan raya. Sebagai contoh, saya pernah tersangkut selama 45 minit di Jalan Damansara, Kuala Lumpur. Saya tidak tahu apa yang menyebabkan kesesakan tersebut. Laporan trafik di Radio Era tidak melaporkan tentang kesesakan tersebut. Akhirnya saya dapat tahu punca kesesakan, iaitu setelah sampai di situ. Saya dapati kesesakan disebabkan oleh kehadiran kotak kayu pecah di bahu jalan. Trafik berjalan dengan lancar selepas lokasi tersebut. Justeru saya simpulkan bahawa kesesakan disebabkan oleh sikap pemandu yang memperlahankan kenderaan mereka untuk menyibuk melihat kotak yang pecah tadi. Kesesakan tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana lorong laluan trafik tidak langsung terhalang. Pernah juga berlaku kesesakan disebabkan pemandu yang menyibuk untuk melihat beberapa orang mat motor berhenti di bahu jalan. Inilah yang membuat saya selalu geram. Merugikan masa dan petrol sahaja.

Sikap pemandu/penunggang yang kurang sopan tersebut membuat saya menjadi marah dan seringkali mengeluarkan kata-kata kesat:

“C#12×2Ã kau. Lesen kopi O ke?”
“Oii, -;21# kau. Belajar mandu kat hulu mana?”
“Perempuan, patutlah. Tak reti mandu, #$&%*, *^#@+”
dan macam-macam lagi (censored).

Apakah tindakan saya tersebut dapat mengubah sikap para pemandu dan penunggang? Jauh sekali. Apa yang saya perolehi adalah tekanan (stress). Biasanya tekanan yang dialami dibawa bersama ke dalam rumah dan menjejaskan kemesraan dengan ahli keluarga.

Baru-baru ini saya dapati bahawa bukan saya seorang sahaja yang mengalami tekanan. Ahli keluarga saya, yang bersama-sama saya dalam kenderaan turut mengalami tekanan. Saya mengalami tekanan kerana sikap pengguna jalan raya lain dan keadaan trafik. Mereka mengalami tekanan kerana reaksi saya terhadap situasi tersebut. Saya juga dapati anak perempuan saya yang berumur 8 tahun sudah pandai mengeluarkan kata-kata kesat kepada pengguna jalan raya yang tidak sopan.

Pihak Kerajaan telah mengadakan berbagai kempen untuk mengubah sikap para pemandu kenderaan dan penunggang motosikal. Kempen-kempen tersebut telah menampak kejayaannya. Mengikut laporan terkini kadar kematian akibat kemalangan jalan raya adalah sebanyak 4.9 kematian bagi setiap 10,000 kenderaan. Ianya telah menurun dari angka 5.7 yang direkodkan untuk tahun 2000.

Soalnya berapa lama lagi saya harus menunggu untuk mendapat ketenangan semasa berada di jalan raya. Dalam pencarian saya dapati tekanan yang dialami berpunca dari reaksi saya terhadap sesuatu situasi yang dialami. Situasi tidak menyebabkan tekanan tetapi reaksi kita kepada situasi yang menyebabkan tekanan. Ini semua orang tahukan? Yang susahnya, bagaimana nak mengubah reaksi kita. Ia sudah menjadi seperti otomatik.

Saya dapati bahawa terdapat tiga perkara asas yang membuat saya memberi reaksi tertentu dalam apa-apa situasi. Berikut adalah cerita saya untuk situasi di jalan raya:

Pertama; Apa sebab sebenar saya marah dengan sikap pemandu dan penunggang? Ia adalah cara untuk menyatakan diri saya betul. Saya betul dalam mengatakan kebanyakan pemandu dan penunggang di Malaysia biadap. Reaksi marah saya adalah untuk mewajarkan pendirian saya bahawa saya betul.

Kedua; Kenapa saya merasa geram apabila pencilok mencilok di hadapan saya? Jika difikirkan saya hanya akan terlewat seminit dua jika memberi laluan kepada beliau. Geram saya bukan disebabkan pencilokan tetapi berpunca dari makna yang saya berikan kepadanya. Sekiranya saya tidak memberi laluan bermakna saya menguasai beliau. Sekiranya saya terpaksa memberi laluan, bermakna beliau menguasai saya. Sifat manusia biasa adalah ingin menguasai orang lain dan tidak mahu diri dikuasai orang lain.

Ketiga; Kini saya juga faham bahawa tindakan saya mengeluarkan kata-kata kesat adalah untuk memperlihatkan tindakan mereka tidak wajar. Atau dengan kata lain, melabelkan mereka sebagai tidak berguna.

Saya juga sedar dan faham akan kesan reaksi saya tersebut ke atas diri dan keluarga saya. Saya tidak mahu kami berterusan mengalami tekanan setiap kali berada di jalan raya. Justeru jelas kepada saya tindakan yang saya perlu ambil, iaitu:

Pertama; Saya lupakan niat untuk buktikan saya betul, walaupun saya tahu saya betul.

Kedua; Tidak lagi mahu menguasai mereka. Biarlah mereka dengan sikap mereka. Saya akan beri mereka laluan. Ini bukan bermakna saya bersetuju dengan sikap mereka. Mereka juga tidak akan dapat menguasai saya sekiranya saya tidak memberi reaksi terhadap sikap mereka.

Ketiga; Memaafkan kesilapan mereka. Dengan memaafkan, tiada lagi yang tersimpan di hati. Justeru saya akan menjadi tenang.

Sudah setahun lebih saya telah mengamalkan perkara di atas. Kini saya tidak lagi mengalami tekanan apabila berada di jalan raya. Sikap pemandu atau penunggang dan kesesakan jalan raya tidak lagi menyebabkan tekanan (stress) kepada saya. Ahli keluarga saya kini boleh menikmati suasana tenang dan gembira ketika berada dalam kenderaan bersama-sama saya.

Kemungkinan yang saya cipta untuk diri saya semasa berada di jalan raya ialah keseronokan, memahami, memaafi dan menyumbang kepada penzahiran hasrat Kerajaan untuk menurunkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya kepada 2.0 bagi setiap 10,000 kenderaan pada tahun 2020 (atau mungkin lebih cepat). InsyaAllah.

Kongsi Dengan Rakan Melalui: These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • del.icio.us
  • Technorati
  • Netvouz
  • DZone
  • ThisNext
  • StumbleUpon
  • MisterWong
  • Wists
  • Furl
  • YahooMyWeb
  • Reddit
  • Simpy
  • blogmarks

5 Responses to “Tekanan Ketika Memandu Di Jalan Raya”

  1. Shan Kata:

    Kalau lebih ramai orang boleh berfikiran sebegini, kuranglah masalah ‘road rage’ atau ‘buli jalanraya’ yang ada sekarang.

  2. Wanyem Kata:

    Terima kasih Shan.

    Saya boleh memilih untuk terus mengekalkan sikap lama. Namun ada harga yang perlu dibayar, iaitu selalu mendapat tekanan (diri sendiri dan keluarga), dan hubungan yang kurang mesra dengan ahli keluarga.

    Saya ingin mempunyai hubungan yang hebat dengan ahli keluarga dan tidak lagi mahu mengalami tekanan. Justeru sudah jelas pilihan yang perlu dibuat. Saya percaya semua orang boleh melakukannya. Kita tidak boleh memiliki kedua-duanya.

  3. linn_comel Kata:

    Inilah masalah yang sering berlaku di jalan raya..saya akui apa yang saudara katakan, memang stress jadinya disebabkan gelagat segelintir pemandu yang adakalanya kurang ajar yang tidak pernah reti menghormati pemandu lain..Yang penting kena sabar..

  4. Yantie Kata:

    Selalu kita lihat kesilapan kebanyakan pemandu di Malaysia yang memandu dengan tidak sopan dan berhati-hati. Ada yang suka memotong barisan, ada yang memandu slow di laluan fast lane, ada yang menggunakan handphone semasa memandu, ada yang membawa melebihi had laju dan banyak lagi yang membuatkan kita naik darah dan menjadi tidak sabar ketika di jalan raya.

    Saya akui, kadang-kadang saya sendiri jadi marah bila orang memotong di hadapan saya dan saya tidak akan beri laluan padanya. Bila difikir kembali…saya yang tension.. dan saya yang dapat stress. Jadi saya rasa saya nak mencuba amalan yang dibuat oleh En. Wan. Mudah-mudahan saya mendapat ketenangan bila berada di jalan raya dan selamat sampai ke destinasi. Insyallah…

  5. Wanyem Kata:

    Syabas Yantie, teruskan hasrat anda. Amalkan hari-hari dan kembali untuk berkongsi hasilnya.

Tinggalkan Komen