Pisahkan Apa Yang Berlaku Dari Ceritanya

Satu dari punca utama masalah hidup kita ialah kita mencantumkan apa yang berlaku dengan tafsiran atas apa yang berlaku ataupun cerita kita mengenai apa yang berlaku. Tafsiran kita selalunya berdasarkan pengalaman lalu atau apa yang kita pernah dengar. Kemudian tanpa disedari kita mencari bukti untuk menyokong tafsiran kita tadi. Semakin banyak bukti yang dikumpulkan semakin nampak benar cerita kita. Akan sampai satu tahap di mana otak kita tidak lagi dapat membezakan antara apa yang berlaku dengan tafsiran atau cerita yang kita tambah. Di saat itu apa yang berlaku dan tafsiran/cerita bercantum dan lalu menjadi realiti bagi kita.

Saya bawakan contoh di bawah agar lebih jelas apa yang saya maksudkan.

Apa yang berlaku – Anak saya tidak skor A dalam peperiksaan pertengahan tahun. Tafsiran atau cerita yang saya tambah kepada apa yang berlaku – anak saya malas belajar. Saya kemudian mencari bukti untuk menyokong tafsiran atau cerita saya. Kenapa? Kerana itu tabiat manusia, iaitu ingin selalu betul.

Bila balik dari kerja saya dapati dia sedang asyik menonton TV. Sahlah dia ni malas belajar. Sebelum masuk tidur saya ternampak dia sedang bergayut di telefon di biliknya. Sahlah dia malas belajar. Di dalam peperiksaan akhir tahun dia tak dapat A juga. Memang malas!!! Tahun berikutnya naik kelas. Tak dapat A juga. Masa tu saya tafsiran atau cerita dia malas sudah bercantum dan menjadi realiti bagi saya. Confirm budak ni malas. Saya tidak boleh biarkan. Saya perlu lakukan sesuatu untuk mengubah perangai malasnya itu. Saya tak benarkan dia tengok TV dan saya cabut telefon yang diletakkan di ruang keluarga.

Kajian pakar telah membuktikan bahawa pendekatan “memperbaikki” kurang berkesan untuk membawa perubahan kepada seseorang. Secara tabii seseorang itu akan “melawan” kerana pada beliau, tiada apa kekurangan pada diri beliau.

Katakan dia selalu skor A. Adakah menonton TV dan bergayut di telefon menjadi masalah? Saya rasa tidak, tafsiran atau cerita yang berbeza pula diberikan. Oh! Dia nak tenangkan fikiran, dah penat belajar tadi kot.

Untuk merungkai “masalah” yang dihadapi, kita perlu pisahkan apa yang berlaku dari tafsiran atau ceritanya. Bila sudah dipisahkan, kita akan berurusan dengan “apa yang berlaku”. Dalam contoh di atas, saya berurusan dengan “tidak skor A” dan bukannya dengan “kemalasan”. Dua pendekatan yang berbeza.

Tidak skor A – soalan mana yang tidak dapat dijawab? Adakah dia tersilap jawab atau masih belum memahaminya? Kalau belum memahami, saya bantu dia untuk memahaminya. Saya dapati kaedah ini lebih berkesan. Namun harus diingat, pilihan ini menjelma di hadapan kita hanya bila kita memisahkan apa yang berlaku dari tafsiran atau cerita kita mengenai apa yang berlaku.

Selamat mencuba dan keluar dari belenggu perasaan.

Kongsi Dengan Rakan Melalui: These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • del.icio.us
  • Technorati
  • Netvouz
  • DZone
  • ThisNext
  • StumbleUpon
  • MisterWong
  • Wists
  • Furl
  • YahooMyWeb
  • Reddit
  • Simpy
  • blogmarks

One Response to “Pisahkan Apa Yang Berlaku Dari Ceritanya”

  1. whereha Kata:

    Setuju sangat. Selalunya ibu bapa akan membuat andaian seperti di atas. Sepupu saya ‘hantu tv’. Boleh dikatakan dia tahu setiap intisari rancangan. Tetapi dia bijak dan cemerlang dalam setiap ujian bulanan. Tetapi bapanya khuatir prestasinya akan merudum kerana gemar menonton tv, apatah lagi menjelang exam. Lalu dia tak dibenarkan menonton tv sepanjang minggu exam. Percaya atau tidak, resultnya memang merudum.

    Akhirnya bapanya menyedari bahawa menonton tv bukanlah faktor kemerosotan prestasinya. Menonton tv menceriakan hidupnya di samping release stress dalam belajar.

Tinggalkan Komen