Tak Kan Kubiarkan Hatiku Luka Lagi

“Luka pertama yang paling dalam.” – Rod Stewards.

Jika luka pertama yang paling dalam, luka berikutnya tentulah tidak berapa dalam kan? Namun kenapa ramai tidak mahu, “Hatiku luka lagi”.Mari kita sama-sama membaca cerita Zuraidah.

Zuraidah telah bercerai sejak 20 tahun yang lalu. Sehingga sekarang Zuraidah masih belum berkahwin lagi walaupun telah beberapa kali mempunyai teman lelaki. Perhubungan Zuraidah dengan teman lelakinya tidak kekal lama. Dalam setiap perpisahan tersebut, teman lelakilah puncanya. Apa benar begitu? Ada sesuatu yang tidak kena dengan kaum lelaki?

“Ada yang tidak kena dengan semua lelaki yang mengenali diriku atau ada yang tidak kena tentang diriku?” fikir Zuraidah.

Zuraidah merasakan perlu mencari jawapan. Beliau mengembara kembali ke zaman silam, ke zaman kanak-kanak dan zaman remaja beliau.

Peristiwa yang berlaku ketika beliau berusia 12 tahun timbul kembali. Peristiwa di mana bapa saudara beliau cuba mencabul kehormatan beliau. Namun beliau terlepas dari kecelakaan dengan membuat helah.

Di saat itu beliau terfikir, “Ada sesuatu yang tidak kena di sini.” Ketika itu, tanpa disedari, tertanam satu kepercayaan, “lelaki tidak boleh dipercayai”.

Fenomena ini berlaku kepada semua orang, yang berbeza cuma peristiwa. Pada ketika itu tertanam kepercayaan mengikut apa yang berlaku dan ianya menjadi lebih mendalam dengan berlakunya peristiwa lain. Begitulah yang berlaku kepada Zuraidah. Ketika berada di Tingkatan 5, beliau cuba diperkosa oleh guru beliau ketika datang ke bilik untuk meminta bantuan menjawab soalan latihan. Apa yang berlaku menguatkan lagi kepercayaan “lelaki tidak boleh dipercayai”.

Selain dari itu ada beberapa peristiwa lain yang membentuk kepercayaan dalam diri Zuraidah. Di sepanjang zaman kanak-kanak dan remaja, beliau selalu melihat ibu dan bapanya bergaduh dan sering kali beliau melihat ibu menangis. Beliau kehidupan ibu tidak bahagia. Bagi Zuraidah, “cinta itu menyakitkan”.

Zuraidah melangkah ke alam perkahwinan dengan membawa dua kepercayaan yang tanpa disedari mempengaruhi fikiran, pembawaan dan tindakan beliau dalam soal rumahtangga. Beliau tidak mahu terluka kerana bagi beliau, ia sangat menyakitkan. Beliau juga perlu berhati-hati dengan suaminya kerana “lelaki tidak boleh dipercayai”. Zuraidah mempersiapkan diri agar tidak terluka jika ditakdirkan ditinggalkan oleh suami. Zuraidah menjadikan dirinya seorang yang berdikari, dia tidak mahu meminta sebarang bantuan dari suami termasuk wang ringgit. Beliau tidak mahu merasa kehilangan tempat bergantung jika ditakdirkan berpisah. Beliau tidak meminta bantuan suami ketika mahu melahirkan anak dan juga membesarkan anak-anak. Dipendekkan cerita, suami Zuraidah pergi meninggalkan Zuraidah ketiga beliau baru melahirkan anak mereka yang ketiga.

“Awak boleh menjaga diri awak dan anak-anak awak.” Itulah yang diucapkan oleh suami Zuraidah ketika pergi meninggalkannya dengan membawa kereta milik Zuraidah.

Tidak lama selepas itu Zuraidah mendapat cerita yang suaminya pergi kerana tidak tahan dengan perangai Zuraidah yang suka memicit ubat gigi di bahagian tengah walaupun sudah berkali-kali diingatkan.

Setelah sudah merasa bersedia, Zuraidah membenarkan dirinya untuk jatuh cinta lagi. Dia akui yang hidup ini tidak lengkap tanpa cinta, tanpa perkongsian hidup dengan orang yang disayangi. Beliau berkenalan dengan seorang duda namun perhubungan mereka tidak kekal lama. Zuraidah memutuskan hubungan mereka bila terasa ada rintangan dalam perhubungan. Kepercayaan “cinta itu menyakitkan” dan “lelaki tidak boleh dipercayai” membuatkan Zuraidah mengambil tindakan tersebut bagi melindungi diri beliau dari ditinggalkan dan terluka. Begitu jugalah kisah cinta Zuraidah dengan beberapa lelaki selepas si duda tadi.

Sembilan tahun sudah berlalu, kini Zuraidah sedar akan “kesilapan” beliau. Beliau memaafkan diri sendiri, ibu dan bapa, bekas suami, guru dan bapa saudara. Kini beliau sudah menjalin satu hubungan baru. Hubungan kali ini dibina dalam ruang lingkup yang berbeza, yang bebas dari kekangan masa lalu. Kali ini Zuraidah memberi 100% komitmen untuk memastikan percintaannya membawa ke jinjang pelamin dan berkekalan hingga ke akhir hayat. Jika ditakdirkan terputus di tengah jalan, beliau bersedia menerima seadanya. Tiada apa yang patut dikesalkan kerana sesuatu itu sempurna seadanya (telah tertulis). Beliau tidak perlu merasa tersinggung kerana jika berlaku perpisahan beliau tahu yang beliau telah memberi yang terbaik, cuma pasangan beliau yang tidak menyedarinya.

Zuraidah baru sahaja mendirikan rumahtangga beliau dengan Bakhtiar minggu lepas. Kali ini beliau memberi peluang kepada suami untuk menjadi sebahagian dari dirinya. Tiada lagi perisai yang perlu disediakan kerana walau apapun yang bakal berlaku, beliau akan menerima seadanya. Tiada makna atau cerita akan diberi kepada apa yang bakal berlaku kerana semuanya sempurna seadanya (tiada sesuatu yang berlaku tanpa izinNya, dan Allah itu Maha Adil dan Maha Penyayang).

[Kini Zuraidah telah tahu sebab sebenar beliau diceraikan. Bekas suami merasakan diri beliau tidak diperlukan dalam kehidupan Zuraidah, beliau merasa tersisih. Justeru tiada guna beliau tunggu lebih lama kerana Zuraidah sudah membuat keputusannya. Untuk pengetahuan, hubungan Zuraidah dengan bekas suami kini adalah baik. Mereka sama-sama menjalankan tanggungjawab membesarkan anak-anak mereka.]

Kongsi Dengan Rakan Melalui: These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • del.icio.us
  • Technorati
  • Netvouz
  • DZone
  • ThisNext
  • StumbleUpon
  • MisterWong
  • Wists
  • Furl
  • YahooMyWeb
  • Reddit
  • Simpy
  • blogmarks

Tinggalkan Komen