Konteks Penentu Rasa Gembira
Konteks menentukan bagaimana tindak balas kita terhadap sesuatu isu atau masalah. Tindak balas tersebut pula akan menentukan samada kita gembira, sedih, marah, kecewa atau lain-lain emosi. Hari ini saya bawakan kisah seorang kawan saya untuk renungan kita bersama.
Hidup Yen, 25 tahun, boleh dikatakan berjaya pada mata masyarakat di kampungnya. Beliau bekerja sebagai seorang eksekutif di sebuah syarikat multi-nasional. Namun begitu hakikatnya Yen merasakan hidup ini tidak bermakna lagi dan ingin menamatkannya. Jawatan baik dan gaji besar tidak memberi apa-apa makna lagi kepada dirinya. Tiada apa yang lebih bererti dalam hidup beliau selain dari kasih sayang seorang ibu.
Pada Yen, ibu beliau adalah seorang yang cerewet, suka mengawal hidupnya dan selalu mencari kesalahannya. Semua yang beliau lakukan nampak salah di mata ibunya. Yen memberitahu bila beliau mengelap lantai, ibunya akan periksa samada ia benar-benar kering. Jika ada setitik air di atas lantai, beliau akan dimarahi. Banyak lagi karenah ibunya yang Yen tidak sanggup ceritakan. Pendek cerita, tingkah laku ibu membuat Yen begitu tertekan.
Awal tahun lepas Yen di hantar untuk menghadiri kursus selama empat hari di Kuala Lumpur. Di hari pertama kursus Yen kelihatan murung dan menundukkan mukannya. Seorang dari fasilitator meminta Yen menceritakan masalahnya. Yen akur dan menceritakan masalah beliau dengan ibu.
“Itu bukan ibu awak. Itu tanggapan awak mengenai ibu awak,” kata Fasilitator bila Yen menceritakan sikap buruk ibunya.
“Ya memang benar, itulah ibu saya,” balas Yen.
Fasilitator mengulangi kenyataannya sebanyak dua kali dan Yen tetap dengan pendiriannya yang ibu beliau seorang yang tidak baik.
“Beginilah, petang ini awak telefon ibu awak dan katakan padanya yang awak sayangkannya,” sambung fasilitator. “Esok awak kongsi dengan kami apa yang terjadi.”
Keesokkannya Yen menceritakan yang ibu beliau sangat risau akan keselamatan beliau kerana sudah dua hari tidak dapat dihubungi.
“Apa yang awak dapat dari perbualan awak dengan ibu awak?” Fasilitator ingin mengetahui samada suara hati Yen telah terbuka semasa perbualan dengan ibunya setelah dia memberi ruang kepadanya (mengucapkan rasa sayang).
“Ya, kini saya nampak yang ibu saya sangat sayang kepada saya. Dia mengambil berat tentang saya dan inginkan yang terbaik untuk saya. Saya sangat gembira,” jawab Yen dengan nada yang ceria.
“Ya, saya dapat lihat yang awak gembira. Awaklah orang yang paling ceria di dalam dewan pada pagi ini,” balas Fasilitator. “Apa lagi yang ibu awak cakap?”
Dia ingatkan saya supaya memeriksa bilik hotel sebelum mendaftar keluar agar tiada barang yang tertinggal. Dia juga mengingatkan saya supaya berhati-hati memandu di jalan raya.
Fasilitator bertanya samada ibu Yen sudah berubah sikap atau cara dia bertanya sudah berbeza dari sebelum ini. Yen menjawab TIDAK.
Apa yang berlaku di sini?
Yen telah menganjak konteks dari “ibu sering mencari kesalahannya” kepada “ibu sangat mengambil berat tentang dirinya”. Penganjakan konteks ini telah melonjakkan perhubungan beliau dengan ibu ke satu tahap yang tidak pernah terfikir olehnya.
Yen kini menjadi seorang yang periang dan gembira dengan kehidupannya. Produktiviti diri beliau telah meningkat dengan begitu ketara dan beliau kini menjadi seorang pekerja mithali.
Bagaimana kisah benar Yen (bukan nama sebenar) dapat membantu anda menemui kebahagian hidup? Cuba lihat kehidupan anda, mungkin anda mempunyai isu yang sama, tetapi bukan dengan ibu anda. Mungkin dengan mentua, suami, boss atau rakan sekerja. Lihat apa konteks anda yang anda guna dalam perhubungan dengan mereka. Ubah konteks tersebut, InsyaAllah kehidupan anda akan beranjak ke tahap yang lebih tinggi.













