Usah Dipeduli Perkara Kecil

Kita selalu membiarkan diri kita sibuk dengan perkara-perkara yang jika diteliti, boleh dikatakan sangat kecil. Kita memberi tumpuan kepada perkara kecil tersebut dan membesar-besarkannya sehingga ia mengawal emosi kita dan seterusnya membuat hidup kita tidak tenteram. Dalam kebanyakan kes perkara kecil inilah yang menjadi punca kepada soal “hidup atau mati”. Sebagai contoh, ketika sedang memandu di lebuhraya tiba-tiba sebuah kereta lain memotong masuk di hadapan anda. Anda tidak membiarkan perkara itu berlalu sebaliknya membenarkan perasaan marah mengawal diri anda. Tidak kurang dari kita yang mengambil tindakan mengejar dan membalas perbuatan pemandu tersebut. Kejadian tersebut tidak akan berakhir di situ. Anda berdua mungkin bergaduh dan masing-masing mungkin mendapat kecederaan. Kalau tidak bernasib baik, mungkin kecederaan parah atau pun meninggal dunia. Anda tentu pernah membaca cerita sedemikian di akhbar-akhbar atau media lain. Paling tidak anda akan menceritakan insiden tersebut kepada rakan-rakan anda atau orang di sekeliling anda. Anda akan marah-marah di sepanjang hari, hari itu akan merupakan hari yang paling teruk untuk anda.

Kenapa tidak dibiarkan sahaja pemandu tersebut, kalau dia tidak berhati-hati dia akan mengalami kemalangan. Memang salah dia memotong secara tiba-tiba. Dia mungkin mengalami tekanan kerana sudah terlewat untuk sampai ke pejabat atau janjitemu. Oleh kerana pemandu tersebut berada di dalam tekanan, tak kanlah kita turut ingin sama mengalami tekanan. Biarkan dia dengan tekanannya, dengan masalahnya dan kemungkinan mengalami kemalangan, kasihan dia. Jika anda tidak kasihan dia, anda juga tidak kasihan diri anda sendiri. Bayangkan apa akan terjadi kepada hari anda kerana mempedulikan pemandu tersebut. Tentu bukan sesuatu yang menyenangkan, silap haribulan anak isteri yang kena marah nanti, atau mungkin ianya berakhir di balai atau lokap.

Mungkin ianya susah untuk dilakukan bagi sesetengah dari kita. Sebelum ini saya juga menghadapi masalah yang sama, sukar untuk melepaskan perkara seperti itu berlalu. Namun berkat komitmen dan amalan serta izin Allah, saya berjaya melakukannya. Saya pernah mengalami “kebiadapan” seorang pemandu semasa sedang menuju ke plaza tol Subang (dari arah Damansara). Ketika sedang menuju ke lorong “Smart TAG”, tiba-tiba sebuah kereta melintas di hadapan saya. Pemandu tersebut hendak menukar laluan dari lorong tunai yang berada di sebelah kanan lorong “Smart TAG” ke lorong tunai yang berada di sebelah kiri. Saya sempat mengelak, hanya beberapa inci sahaja terlepas. Bayangkan jika anda berada di tempat saya. Sudah tentu perasaan marah akan marak menyala. Sekiranya saya tidak membiarkan perkara tersebut berlalu, mungkin terjadi sesuatu yang saya akan kesali seumur hidup saya.

Terdapat banyak perkara kecil yang seakan-akan sama dengan contoh di atas dalam hidup kita seharian. Kita boleh memilih untuk menerima kesannya atau membiarkan ia berlalu. Kalau diteliti banyak perkara kecil yang memporak-perandakan banyak rumah tangga. Ada rumah tangga yang porak-peranda hanya kerana si suami tidak romantik pada pandangan si isteri, tiada kekurangan yang lain. Jika si isteri tidak mendesak suami untuk menjadi romantik tetapi menumpukan usaha untuk diri sendiri menjadi romantik dan melayan suami sebaik mungkin, InsyaAllah si suami akan menjadi romantik jua akhirnya.

Kebahagian atau kesengsaraan, anda sebenarnya yang memilih. Bahagia atau tidak seseorang itu bergantung kepada tahap kesyukuran dan keredhaan dirinya. Sekiranya tidak dapat melakukannya dengan tulus ikhlas, lihat apa yang menghalang diri anda. Mungkin kerana ingin menang, mungkin kerana ingin membuktikan “kesalahan” pihak lain, mungkin kerana ingin mengelak dari dikuasai atau mungkin kerana ingin menguasai.

Kongsi Dengan Rakan Melalui: These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • del.icio.us
  • Technorati
  • Netvouz
  • DZone
  • ThisNext
  • StumbleUpon
  • MisterWong
  • Wists
  • Furl
  • YahooMyWeb
  • Reddit
  • Simpy
  • blogmarks

Tinggalkan Komen