Mendiamkan Suara Kecil Minda

Apa tu suara kecil? Ia adalah fikiran yang bermain di minda kita apabila kita berhadapan dengan seseorang, sesuatu keadaan, apa yang terjadi dan sebagainya.

Sebagai contoh; Ketika isteri sedang berleter, apa yang bermain di fikiran anda?

“Balik-balik benda tu, tak ada lain ke yang nak dileterkan.”
“Hai, tak habis-habis orang tua ni.”
“Kalau hari-hari macam ni, boleh mental aku.”

Itulah suara kecil minda. Suara ini tidak pernah diam dan ia selalunya mempengaruhi keputusan atau tindakan kita. Bila kita tidak bercakap, suara kecil ini semakin bising. Saya dapati saya merasa kurang senang apabila bersama seseorang tanpa berkata apa-apa. Jika saya atau dia tidak berkata apa-apa, suara kecil minda akan bising. Bising menilai diri dia, atau berfikir apa yang dia fikirkan atau apa yang dia fikirkan tentang saya, dan sebagainya.

“Kenapa dia pandang saya macam tu, apa yang tak kena?”
“Saya fikir dia ni tidak boleh dipercayai.”
“Kenapa dia diam saja?”
“Apa pandangan dia tentang saya?”

Ada juga yang merujuk suara minda ini sebagai fikiran negatif. Saranan yang diberikan adalah supaya kita selalu berfikiran positif. Masalahnya fikiran negatif ini selalu datang, justeru apa yang perlu dibuat? Pedulikan suara minda tersebut. Secara tak langsung ia akan “kurang aktif” lantas menjadikan anda kurang memberi reaksi kepada “masalah” hidup dan ia akan membuat anda merasa aman.

Saya berlatih bersama-sama dengan isteri untuk tidak mempedulikan suara kecil minda. Kami melihat ke dalam mata masing-masing tanpa mengucapkan sepatah kata. Mula-mula kami rasa kekok, suara minda sungguh bising dan kami melakukan sesuatu (seperti menggaru) untuk menutup rasa kurang selesa. Lama kelamaan ianya menjadi lebih mudah. Kini kami selesa duduk bersama-sama tanpa mengucapkan sepatah kata, suara minda juga turut diam. Dengan “kesunyian” ini terbitlah ruang yang luas, ruang yang kami boleh isi dengan apa saja yang kami ingini. Dari situ terlahir satu anjakan dalam perhubungan kami. Perhubungan yang didominasi oleh suara kecil minda yang bising sangat mudah untuk diselubungi masalah dan konflik.

Kongsi Dengan Rakan Melalui: These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • del.icio.us
  • Technorati
  • Netvouz
  • DZone
  • ThisNext
  • StumbleUpon
  • MisterWong
  • Wists
  • Furl
  • YahooMyWeb
  • Reddit
  • Simpy
  • blogmarks

2 Responses to “Mendiamkan Suara Kecil Minda”

  1. listener Kata:

    erm.. menarik topic ni.. apakah therapy yang boleh digunakan untuk melenyapkan suara kecil minda kita? bukankah suara kecil minda diproses oleh otak kita sendiri. sebagai contoh, apabila kita ternampak sesuatu objek didepan mata, otak kita akan mula mentafsir dan menganalisis objek tersebut, yang mana cara ianya diterjemahkan adalah melalui suara minda kecil kita sendiri. bukankah begitu? pada pandangan saya, suara kecil minda ini akan terus berbunyi, samada ke arah yang positif atau negatif. kerana apa yang lebih penting adalah bagaimana otak kita mentafsir sesuatu perkara itu samada negatif atau positif..

  2. Wan Yem Kata:

    Ya, suara kecil minda akan terus berbunyi. Yang berbeza cuma samada berbunyi terus atau seketika sahaja.

    Apa yang disuarakan suara kecil minda selalunya dari pengalaman lepas, yang selalunya negatif. Suara kecil yang saya maksudkan berbeza dari “suara” yang membuat analisa dan penelitian tentang sesuatu. Sebagai contoh:

    Bila sebut tentang ahli politik, apa yang disuarakan oleh suara kecil minda anda? Yang biasa disuarakan; seorang yang tidak boleh dipercayai? Ianya berbeza dengan minda, minda akan memproses maklumat tentang ahli politik berkenaan, menganalisa, meneliti dan kemudian membuat keputusan berdasarkan maklumat yang telah diproses.

    Satu lagi contoh; apa yang suara kecil minda akan suarakan mengenai seorang ibu tiri… Ya, seorang yang zalim kepada anak tirinya.

    Justeru untuk mendiamkan suara kecil minda, pedulikan ia. Buat penilaian berdasarkan maklumat atau fakta. Jika dilayan, ia akan lebih bising dan mungkin cuba mempengaruhi suara kecil minda lain. Untuk menutup terus, sesuatu yang agak mustahil kerana kita manusia (punya nafsu).

Tinggalkan Komen