Permainan Kehidupan
Sebelum saya bercerita mengenai permainan kehidupan, saya ingin mengambil permainan bolasepak sebagai analogi. Kita ambil pertandingan Bolasepak Euro 2008 yang baru saja berakhir di mana Sepanyol berjaya menjadi juara, buat pertama kali dalam tempoh 44 tahun.
Seronok tak menonton perlawanan Euro 2008? Adakah sama dengan Euro 2004? Bagi peminat setia England, kemungkinan besar ianya tidak seseronok semasa England turut bertanding. Apa yang ada dalam sesuatu perlawanan yang membuat anda seronok? Sebelum itu cuba tanya diri; yang mana lagi seronok antara latihan dengan perlawanan sebenar? Antara perlawanan persahabatan dengan perlawanan kejohanan? Sudah tentu perlawanan sebenar lebih seronok dari latihan dan perlawanan kejohanan lebih seronok dari persahabatan. Kenapa?
1. Dalam perlawanan ada skor. Skor yang membuat kita seronok dan teruja. Kita bersorak bila pasukan kita skor gol.
2. Kenapa seronok bila pasukan kita skor? Sebab pasukan yang skor lebih banyak dalam masa yang ditetapkan dikira pemenang. Seronokkah kalau pasukan yang skor lebih banyak dikira kalah? Atau seronokkah skor banyak tapi tidak ditetapkan bila permainan akan berakhir? Ini yang dipanggil undang-undang permainan.
3. Kenapa seronok sangat bila pasukan anda menang? Sebelum itu, seronokkah kalau perlawanan yang dimenangi itu adalah untuk menentukan kedudukan di tangga ketujuh dari duabelas pasukan? Tentu tidak berapa seronok kan? Kenapa? Sebab ada seseuatu yang dipertaruhkan. Semakin besar pertaruhan, semakin seronoklah bila mencapai kemenangan. Rasa seronok memenangi perlawanan akhir adalah lebih dari seronok memenangi perlawanan menentukan tempat ketiga.
Sekarang saya ingin membawa pembaca sekalian kepada permainan kehidupan. Setiap dari kita adalah pemain dalam permainan kehidupan walaupun kita memilih untuk tidak bermain. Kalau kita tidak bermain, kehidupan akan memainkan kita. Tiada istilah penonton dalam permainan kehidupan.
Bagaimana kita hendak membawa keseronokan dalam permainan kehidupan, atau dengan kata lain kebahagian hidup? Ramai di antara kita yang menjadikan permainan kehidupan seperti permainan lain. Kita adakan skor untuk kita rasa seronok. Contoh skor; skor semua “A” dalam peperiksaan, mendapat pekerjaan yang diidamkan, berjaya beristerikan/bersuamikan gadis/jejaka idaman dan sebagainya.
Seronokkah kalau skor semua “A” dalam SPM tetapi tidak dapat masuk universiti, tidak dapat biasiswa atau tidak dihargai langsung? Tentu tidak seronok kan, malah kecewa pula. Yang membuat seronok bukannya “A”, tetapi apa yang dikaitkan dengan mendapat “A”.
Kenapa seronok mendapat pekerjaan yang diidamkan? Kerana ia dikaitkan dengan jaminan hidup dan status di mata masyarakat. Seronokkah menjadi petani setelah bertahun-tahun bertungkus lumus untuk mendapat segulung ijazah? Sudah tentu ramai yang menjawab tidak seronok.
Bagaimana kalau saya katakan kita mengadakan undang-undang permainan kehidupan untuk membuat kita rasa seronok. Kemudian kita lupa kita yang membuat undang-undang tersebut dan menganggapnya sebagai satu kebenaran. Bila kita tidak memenangi sesuatu perlawanan, kita merasa kecewa dan menganggap hidup ini penuh dengan kedukaan.
Berbalik kepada permainan bolasepak. Apa yang anda suka mengenainya?
Saya suka melihat jaringan gol yang cantik; pemain mengambil sepakan bebas dan melengkungkan bola ke dalam gol, seperti David Beckham; pemain menggelecek bola dengan gaya tersendiri, seperti Zinadine Zidane. Bila saya fokuskan kepada apa yang saya suka dalam sesuatu perlawanan, saya merasa seronok walaupun pasukan yang saya minati kalah.
Begitu juga dengan permainan kehidupan. Jika kita fokuskan kepada apa yang kita suka dalam kehidupan, kita akan merasa bahagia walaupun kita tidak mencapai “kejayaan”. Anda mungkin suka membantu orang lain, justeru anda akan merasa bahagia bila dapat membantu membawa perubahan kepada orang lain walaupun anda sendiri tidak mencapai “kejayaan” dalam hidup. Seorang ibu merasa bahagia melihat anaknya berjaya hasil dari didikannya walaupun beliau sendiri tidak “berjaya”.













