Memberi Tumpuan Kepada Apa Yang Mungkin

Berputus asa dan merasa sinis sudah menjadi seperti darah daging kita. Apabila kita berhadapan dengan sesuatu masalah, putus asa dan perasaan sinis akan datang kepada diri kita secara otomatik. Kita percaya bahawa masalah tersebut tidak mungkin dapat diselesaikan dan kita berhenti mencuba kerana yakin usaha kita akan menjadi sia-sia. Sekiranya ada orang lain ingin menyelesaikan masalah tersebut, kita akan menasihat mereka supaya tidak usahlah membuang masa. Kiranya kita menyelami ke dalam diri sendiri secara jujur, kita akan dapat lihat kehadiran kedua-dua perasaan tadi dalam setiap aspek kehidupan kita.

Perbualan kita kali ini adalah mengenai menjalani kehidupan dengan memberi tumpuan kepada apa yang mungkin. Saya akan bercerita mengenai kisah seorang kawan saya, Azie, yang kini berusia di awal 40an.

Disebabkan oleh perselisihan faham beberapa tahun yang lalu, abang Azie tidak mahu bertegur sapa dengan bapa mereka. Beliau tidak mahu membawa anak isteri beliau ke rumah bapa mereka. Begitu juga dengan bapa mereka, beliau tidak mahu berjumpa dengan abang Azie. Bila Azie mengadakan rumah terbuka atau apa-apa majlis, abang beliau tidak akan hadir kalau bapa mereka ada di situ. Begitu juga dengan bapa mereka, beliau tidak akan hadir jika abang Azie ada di situ. Begitulah keadaan mereka tahun demi tahun. Cucu tidak kenal datuk dan datuk tidak mengenali cucu.

Azie tidak pernah berhenti untuk menjemput abang dan bapa ke rumah beliau. Abang beliau biasanya akan bertanya samada Azie turut menjemput bapa mereka. Bila Azie menjawab ya, beliau akan katakan yang beliau tidak akan hadir. Azie memujuk dan si abang tetap berdegil. Begitulah juga halnya dengan bapa mereka. Walaupun dipujuk untuk hadir, beliau tetap berkeras untuk tidak hadir jika abang Azie ada bersama. Perkara ini berterusan dari tahun ke tahun. Adakah Azie berhenti dari menjemput kedua-duanya? Jawapannya tidak. Adakah Azie telah berputus asa dan merasa sinis dengan perhubungan antara abang dan bapa beliau? YA!!! Walaupun beliau tidak jemu-jemu menjemput kedua-duanya datang ke majlis yang beliau adakan, tetapi hati beliau mengatakan yang abang dan bapa mereka tidak akan datang. Tanpa disedari, beliau sebenarnya telah berputus asa dan merasa sinis dengan kemungkinan abang dan bapa beliau akan berbaik semula.

Pada Hari Raya tahun lalu Azie sekali lagi menjemput bapa dan abang beliau untuk hadir ke rumah beliau di pagi raya. Jemputan kali ini tidak lahir dari keterpaksaan, tetapi terlahir dari komitmen untuk melihat kemesraan dan hubungan kekeluargaan di antara mereka. Bila bapa beliau bertanya samada Azie menjemput abang beliau bersama, Azie menjawab ya dengan perasaan yang tenang, tanpa sedikit pun merasa gusar atau khuatir dengan penolakan atau reaksi dingin bapa beliau. Beliau bercerita dan membayangkan betapa gembira dan indahnya suasana apabila cucu dapat mengenali datuk mereka dan datuk dapat bermain bersama-sama dengan cucu-cucunya, dan sebagainya. Suasana indah yang sama juga Azie bayangkan kepada abang beliau, Adie.

Di pagi raya tahun lepas, suasana yang Azie bayangkan kepada kedua-dua bapa dan abang beliau telah menjadi realiti. Kedua-duanya berpelukan dan saling meminta maaf dan memaafkan. Anak-anak saudara Azie pula merasa sangat gembira kerana dapat mengenali dan bermesra dengan datuk mereka.

Bagaimana kemungkinan ini menjadi realiti? Setelah membuat muhasabah diri, Azie mendapati beliau sebenarnya telah berputus asa dan merasa sinis (tidak percaya atau merasa sangsi yang abang dan bapa beliau akan berbaik semula). Selama ini apabila beliau membuat jemputan, beliau menjangkakan jawapan yang akan diterima ialah “TIDAK”. Bila beliau memujuk, beliau juga menjangkakan mereka akan mengatakan “TIDAK”. Justeru bila jawapan “TIDAK” yang diterima, minda beliau secara otomatik memberi komen, “aku dah jangka dah”. Dia merasa “seronok” bila mendapati dirinya betul.

Tidak terlampau jika saya katakan bahawa Azie sememangnya mengharapkan abang dan bapa beliau menolak pelawaan beliau. Sekiranya mereka menerima pelawaan beliau, tanggapan beliau terhadap mereka tidak lagi menjadi betul dan ini membuat ego beliau tercabar.

Apabila pelawaan terlahir dari komitmen, ego tidak lagi menjadi persoalan. Tingkah laku Azie di kala itu mewujudkan tenaga dan ruang untuk membolehkan kedua-duanya abang dan bapa beliau menjadi diri mereka yang sebenarnya, ia-itu seorang yang ingin disayangi dan menyayangi, dan saling memerlukan.

Saya berharap kita sama-sama beroleh pengajaran dari kisah kehidupan yang saya paparkan kali ini.

Jumpa Lagi.

“SELAMAT MENJALANI KEHIDUPAN BAHAGIA”

Kongsi Dengan Rakan Melalui: These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • del.icio.us
  • Technorati
  • Netvouz
  • DZone
  • ThisNext
  • StumbleUpon
  • MisterWong
  • Wists
  • Furl
  • YahooMyWeb
  • Reddit
  • Simpy
  • blogmarks

Tinggalkan Komen