Kemaafan, Dendam Yang Terindah?

Satu dari punca masalah dalam kehidupan kita ialah kemarahan. Kita merasa marah apabila apa yang berlaku tidak seperti yang kita harapkan. Ia membuat kita kecewa, menderita dan kadang-kadang boleh membuat kita jatuh sakit. Jika dihalusi, kita marah bukan sebab apa yang diharapkan tidak menjadi tetapi kita merasa sakit hati dengan apa yang terjadi. Mari kita renungi bersama kisah ini seperti yang diceritakan oleh seorang doktor perubatan di Malaysia.

“Seorang wanita berusia pertengahan 30 tahun datang berjumpa saya kerana masalah asma. Hanya baru-baru ini saja beliau mendapat penyakit ini. Apabila saya memeriksa beliau, saya dapati beliau mempunyai gejala asma bronkus. Saya memberi dia ubat asma dan meminta datang berjumpa saya semula untuk pemeriksaan lanjut selepas seminggu.

Seminggu kemudian dia datang semula, tiada perubahan!

Saya membuat pemeriksaan dan memberinya ubat yang lain. Dia datang lagi seminggu kemudian, juga tiada apa-apa perubahan. Nafasnya masih lagi berdesit bunyinya.

Dia kembali semula berjumpa saya untuk kali keempat. Saya bertanya tentang kehidupan beliau, ada apa-apa yang berlaku sebelum beliau mendapat masalah asma tersebut. Beliau terus menangis…

Rupanya beliau telah keguguran dua minggu sebelum mendapat serangan asma. Beliau menyalahkan diri sendiri di atas apa yang telah terjadi. Untuk memburukkan lagi keadaan, suami beliau enggan bercakap dengan beliau selepas kejadian itu. Ini menguatkan lagi keyakinan beliau yang beliau bersalah.

Saya membiarkan beliau melepaskan perasaan dan kesedihan beliau. Kemudian saya meyakinkan beliau bahawa beliau tidak bersalah dalam hal ini. Sehelai demi sehelai tisu dihabiskan beliau semasa meluahkan perasaan.

Sebulan selepas itu beliau kembali ke klinik saya. Beliau memberitahu beliau telah sembuh dari asma sedangkan beliau tidak memakan ubat yang saya berikan. Semua gejala asma hilang selepas konsultasi terakhir dengan saya sebulan lepas.”

Ini bukannya satu-satu kes yang ditangani oleh doktor tersebut. Beliau mendapati ramai lagi pesakit yang mempunyai masalah serupa dan memperolehi hasil yang serupa.

Dan ini pula cerita mengenai kawan saya sendiri, seorang ibu yang mempunyai 3 orang anak remaja. Beliau berkahwin dengan seorang muaalaf dan perkahwinan mereka tidak direstui oleh keluarga mereka. Keluarga kawan saya ini adalah satu keluarga yang kuat pegangan ugamanya. Kata-kata terakhir bapa beliau sebelum beliau menjalani kehidupan sendiri bersama suami tercinta, “kamu bertanngungjawab ke atas ugama keluarga kamu”.

Kehidupan yang beliau lalui tidak seindah seperti yang beliau harapkan. Pembawaan anak-anak dan suami tidak seperti yang beliau harapkan. Keadaan hidup yang beliau lalui membuat beliau sedih dan kecewa.

Kira-kira setahun yang lepas beliau mendapat penyakit (nama kurang pasti) di mana darah haid tidak pernah kering. Beliau telah mendapatkan rawatan moden dan juga tradisional tetapi tidak menampakkan sebarang hasil. Baru-baru ini beliau menemui seorang ustaz untuk mendapatkan rawatan. Ustaz tersebut mengatakan yang beliau ada menaruh rasa kebencian yang amat mendalam terhadap seseorang.

Beliau membuat muhasabah diri dan hasil penemuan membuat beliau menangis terisak-isak. Selama ini, tanpa beliau sedari, beliau menaruh rasa benci terhadap diri sendiri. Memarahi diri sendiri atas apa yang berlaku dan membuat keputusan bahawa beliaulah punca segala “kepincangan” dalam keluarga beliau. Setelah menyedari perkara tersebut, beliau pun memaafkan diri sendiri.

Kini penyakit beliau telah sembuh sepenuhnya dan beliau kini gembira bersama suami dan anak-anak.

Apakah kita tidak mempunyai pilihan dalam hidup ini?

Sekiranya kita sanggup membuka minda kita, kita akan dapat melihat yang kita mempunyai pilihan dalam setiap situasi kehidupan kita. Kita boleh memilih untuk memberi fokus kepada apa yang tidak kena dengan hidup kita atau memberi fokus kepada apa yang dapat kita capai. Selalunya kita memilih yang pertama kerana pulangan yang diterima walaupun terpaksa membayar harga yang tinggi.

Dalam kes di atas, wanita yang pertama memberi fokus kepada apa yang tidak kena dengan beliau sehingga membuat beliau keguguran. Beliau boleh memberi fokus untuk mengembalikan kesihatan beliau dan kemungkinan mengandung lagi.

Bagi kawan saya pula, beliau telah memilih untuk mencari kesalahan ahli keluarga beliau daripada memberi komitmen untuk mengajak dan membimbing mereka menjalani kehidupan berlandaskan ajaran agama (sudah semestinya diiringi dengan doa).

Pengajaran: Untuk menjalani kehidupan yang tenteram dan bahagia, kita perlu memaafkan semua orang terutamanya DIRI SENDIRI. Sebelum tidur, maafkan semua orang dan diri sendiri. Amalkannya setiap malam, anda akan bangkit dengan tenaga baru untuk menjalani kehidupan seterusnya. Apabila kita memaafkan, kita dapat mengembalikan perkara lepas ke masa lepas dan ia tidak lagi akan mempengaruhi kita apabila kita berinteraksi dengan insan berkenaan. Sekiranya kita tidak memaafkan, perkara tersebut akan sentiasa berada di depan kita. Ianya akan menjadi dinding yang menghalang kita dari beriteraksi secara berkesan dan tindakan yang diambil tidak berlandaskan fakta yang ada. Hasil yang diperolehi dari interaksi tersebut bukanlah sesuatu yang kita sebenar inginkan.

Kongsi Dengan Rakan Melalui: These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • del.icio.us
  • Technorati
  • Netvouz
  • DZone
  • ThisNext
  • StumbleUpon
  • MisterWong
  • Wists
  • Furl
  • YahooMyWeb
  • Reddit
  • Simpy
  • blogmarks

Tinggalkan Komen