Anak Saya Malas Belajar?

Saya mempunyai empat orang anak, tiga perempuan dan seorang lelaki. Seperti kebanyakan ibubapa yang lain, saya mahu anak-anak saya berjaya dalam pelajaran mereka.

Anak saya yang sulung, perempuan, kini berusia 20 tahun. Sebagai anak yang sulung, beliau menjadi harapan kami untuk menjadi contoh kepada adik-adiknya. Dia seorang yang aktif, berani dan tidak suka bergantung kepada orang lain. Namun sejak dari tadika, beliau tidak menunjukkan minat untuk belajar tetapi lebih cenderung bermain. Ketika beliau di tadika, kami membiarkan beliau kerana pada kami biasalah, budak-budak, kuat main.

Apabila beliau sudah berada di sekolah rendah, perangainya tidak berubah. Ini membuat kami risau, pada kami dia mempunyai masalah. Masalah beliau ialah MALAS BELAJAR dan kuat bermain. Sebagai ibubapa yang bertanggungjawab, kami ingin menyelesaikan masalah beliau tersebut. Kami menghnatar beliau ke tuisyen untuk membantu beliau dalam pelajaran beliau. Di rumah, kami buatkan jadual untuk dia dan pastikan beliau mengikut jadual tersebut. Bila beliau tidak mengikutinya, kami menasihati beliau yang pelajaran amat penting untuk kejayaan hidup beliau. Bila beliau berdegil, kami akan memarahi beliau dan biasanya akan berkata beliau akan hidup susah di kemudian hari jika beliau berterusan MALAS. Kami juga selalu tekankan kepada beliau, untuk berjaya dalam pelajaran dan kehidupan di masa hadapan, beliau perlu skor A dalam semua matapelajaran.

Dipendekkan cerita, beliau hanya mendapat 2A dalam UPSR, 2A dalam PMR dan tiada satu A pun dalam SPM. Dari UPSR hingga ke SPM, kami menghantar beliau ke tuisyen, tidak henti-henti memberikan penekanan kepada beliau yang betapa pentingnya untuk beliau skor A. Ketika di dalam tingkatan 4 dan 5, kami menekankan betapa pentingnya untuk beliau mendapat A dalam semua matapelajaran yang diambil agar beliau dapat menyambung pelajaran beliau ke universiti awam. Selain dari usaha di atas, kami turut menawarkan ganjaran wang ringgit untuk setiap A yang akan beliau perolehi. Namun tawaran itu tidak dapat mengubah sikap beliau.

Dengan keputusan yang diperolehinya, beliau tidak terpilih untuk ke universiti awam. Kami menghantar beliau ke kolej swasta untuk mengikuti kursus pilihan beliau dengan harapan beliau akan mendapat keputusan yang baik kerana kursus yang dipilih adalah minat beliau. Kami menyokong keputusan beliau mengikuti kursus tersebut walaupun kami lebih suka beliau membuat kursus lain. Beliau mengatakan bahawa beliau akan menamatkan kursus diploma beliau dengan cemerlang dan menyambung pelajaran ke peringkat ijazah. Beliau sedar yang beliau perlu memperolehi CGPA 3.5 ke atas untuk mempunyai peluang cerah ke universiti awam. Jangkaan kami, beliau akan belajar bersungguh-sungguh namun ianya meleset. Beliau masih dengan perangai malasnya dan kami sentiasa memastikan beliau belajar serta mengingatkan beliau akan pentingnya beliau skor 3.5 mata.

Selama lima semester beliau di kolej, keseluruhan mata CGPA yang dicapai tidak sampai 3.0. Selama lima semester juga kami berusaha sedaya upaya untuk memperbaiki sifat MALAS beliau, namun tidak menampakkan hasil.

Di permulaan semester enam, saya bertanya beliau samada beliau benar-benar ingin menyambung pelajaran ke peringkat ijazah dan beliau menjawab YA. Saya bertanya lagi samada beliau tahu apa yang harus dicapai dan dilakukan untuk mempunyai peluang menyambung pelajaran ke peringkat ijazah. Beliau menjawab YA. Kemudian saya meminta beliau menerangkan apa yang beliau akan lakukan untuk memperolehi sekurang-kurangnya mata GPA 3.6. Saya bersetuju dengan rancangan beliau dan mengatakan semuanya terpulang kepada beliau. Saya tidak akan memaksa beliau mengikuti cara kami untuk mencapai kejayaan dalam pelajaran. Saya juga mengatakan yang SAYA YAKIN BELIAU AKAN MENCAPAI KEPUTUSAN CEMERLANG.

Apabila beliau balik bercuti pada hujung minggu, saya tidak nampak perubahan pada diri beliau. Saya tidak nampak kesungguhan beliau belajar, namun anggapan saya bahawa dia seorang yang MALAS telah saya buang jauh-jauh. Saya menanam keyakinan dengan komitmen beliau untuk mencapai sekurang-kurangnya 3.6 mata. Setiap kali saya menghantar beliau pulang ke kolej, saya mengingatkan beliau akan impian beliau untuk menyambung pelajaran beliau ke peringkat ijazah.

Apabila keputusan peperiksaan dikeluarkan, beliau dan saya sendiri macam tidak percaya dengan keputusan yang diperolehi beliau. Beliau berjaya memperolehi mata GPA 3.63 dan mata keseluruhan CGPA 3.05. Isteri saya terkejut dengan keputusan tersebut.

Apa yang berlaku di sini? Saya telah menukar konteks dari anak saya seorang yang malas kepada seorang yang mampu mencapai apa yang diinginkannya. Hasilnya saya berjaya membuang kecenderungan saya untuk memperbetulkan beliau. Saya hanya mengingatkan beliau tentang komitmen beliau untuk berjaya tanpa memberi apa-apa tekanan.

Di pihak beliau pula, beliau sedar yang saya tidak akan “memerintah” beliau mengikut cara saya untuk berjaya dalam pelajaran dan beliau bertanggungjawab ke atas pencapaian beliau. Beliau TIDAK BOLEH MENYALAHKAN SAYA jika beliau gagal mencapai apa yang dihajatkannya. Beliau juga sedar yang beliau tidak lagi boleh “mengongkong” saya dengan sikap MALAS beliau. Selama ini, tanpa beliau sedari, beliau bersikap MALAS untuk mendapat perhatian dari kami, mengongkong kami dan menyalahkan kami jika beliau gagal dalam pelajaran.

Semua ini tidak akan mungkin berlaku jika saya tetap dengan pendirian saya bahawa pendapat saya sahaja yang betul.

Kata-kata Motivasi: Masalah selalu timbul apabila kita mengukur seseorang mengikut “Standard dan Ideal”. Jika seseorang itu tidak memenuhi standard dan ideal, kita merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan beliau dan kita berusaha untuk memperbetulkannya. Masalah tidak timbul jika kita komited dengan “Prinsip dan Nilai”. Punca masalah ialah kita, tanpa disedari, telah menyatukan “Standard dan Ideal” dengan “Prinsip dan Nilai”.

Standard dan Ideal untuk anak saya; Belajar sekurang-kurangnya 4 jam sehari dan skor A dalam semua subjek.

Prinsip dan Nilai yang tertimbus; Setiap orang bertanggungjawab ke atas diri sendiri dan kasih sayang tanpa syarat.

Kongsi Dengan Rakan Melalui: These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • del.icio.us
  • Technorati
  • Netvouz
  • DZone
  • ThisNext
  • StumbleUpon
  • MisterWong
  • Wists
  • Furl
  • YahooMyWeb
  • Reddit
  • Simpy
  • blogmarks

2 Responses to “Anak Saya Malas Belajar?”

  1. Kin Kata:

    Kisah ini membuat saya lebih faham tentang apa yang sdra maksudkan dengan ‘Prinsip dan Nilai” dan “Standard dan Ideal’.

  2. mazura Kata:

    askm, tuan memang penyabar, dan begitulah saya….tapi anak tuan tidak nakal, anak sulung saya lelaki, selain dari malas belajar, ada sikap degil yang buat saya putus asa, dan kini anak saya baru lepas menduduki peperiksaan PMR dan tidak mendapat satu A pun, apa yang harus saya lakukan….saya buntu dan pusing…adakah saya terlalu mendesak,

Tinggalkan Komen