Jangan Potong Cakap Orang Lain Atau Menyudahkan Ayat Mereka

Beberapa bulan yang lepas saya menyedari bahawa acap kali saya memotong cakap orang lain ataupun tolong menyudahkan ayat mereka. Saya juga menyedari bahawa tabiat tersebut bukan sahaja menjejaskan rasa hormat orang lain terhadap saya tetapi juga membakar tenaga saya. Bayangkanlah, saya perlu berfikir untuk dua kepala dalam satu masa. Bila anda tidak sabar-sabar untuk memotong cakap orang lain, atau tolong menghabiskan ayat mereka, anda bukan sahaja perlu menjejaki apa yang anda fikirkan tetapi fikiran orang yang anda potong cakap mereka juga.

Sebagai contoh saya paparkan perbualan ini:

“Jom Bang kita pergi PWTC, ada pameran…..”.

Belum sempat isteri menghabiskan ayat beliau saya mencelah, “Buat apa? Ramai orang. Susah nak cari parking. Duduk rehat kat rumah lagi baik.”

Cuba bayangkan sejenak, apa perasaan si isteri waktu itu. Tidakkah beliau merasa sakit hati dan tersinggung. Tidakkah terjejas rasa sayang dan hormat pada suami? Tidakkah tertanam dendam di hati? Inilah juga yang merupakan punca pertengkaran, kerana jika ada sesuatu yang boleh membuat seseorang marah, ia adalah bila orang tidak mendengar cakap mereka. Bagaimana anda hendak mendengar cakap seseorang apabila anda sibuk untuk bercakap bagi pihak beliau?

Bila anda sedar yang anda asyik memotong cakap orang lain, anda akan dapati bahawa perbuatan buruk ini merupakan satu tabiat yang terlindung dari mata hati anda (ia berada dalam lapangan anda tidak tahu yang anda tidak tahu). Saya sedar yang sebelum ini saya tidak sabar-sabar untuk mengeluarkan kata-kata sebelum sempat orang lain menghabiskan kata-kata mereka. Saya sudah tahu apa penyudah ayat mereka atau apa yang ingin mereka katakan (ini yang saya maksudkan dengan tolong menghabiskan ayat orang lain), dan saya tidak sabar-sabar untuk menjawabnya. Kerapkali jawapan yang diberi tersasar dan membawa kepada pertengkaran atau bermasam muka atau menyimpan dendam (tanpa disedari). Ini adalah berita baik bagi diri saya, saya sekarang dapat “menangkap” diri saya apabila saya cuba memotong cakap orang lain. Saya akan mengingatkan diri saya untuk bersabar, dengar dan peka dengan apa yang hendak dicakapkan oleh seseorang itu.

Bila saya amalkan ini, saya dapati interaksi saya dengan mereka dalam hidup saya menjadi bertambah baik. Mereka pula merasa selesa berada bersama saya kerana mereka dapat merasakan percakapan mereka didengar dan diambil peduli. Saya juga merasa selesa dan tenang untuk berbual dengan mereka.

Inilah satu cara mudah untuk menjadi seorang yang tenang dan penyayang.

Berbalik kepada perbualan di atas. Beberapa hari selepas itu, saya terbaca di akhbar bahawa ramai pelawat pameran membuat tempahan pakej percutian yang ditawarkan dengan harga yang murah. Saya merasa rugi kerana terlepas peluang tersebut.

Selepas ini, bila anda berinteraksi dengan orang lain, ingatkan diri anda supaya tidak memotong cakap orang. Perhatikan perubahan yang akan berlaku di sekeliling anda. Anda tentu akan gembira dengannya.

Jumpa lagi.

Kongsi Dengan Rakan Melalui: These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • del.icio.us
  • Technorati
  • Netvouz
  • DZone
  • ThisNext
  • StumbleUpon
  • MisterWong
  • Wists
  • Furl
  • YahooMyWeb
  • Reddit
  • Simpy
  • blogmarks

One Response to “Jangan Potong Cakap Orang Lain Atau Menyudahkan Ayat Mereka”

  1. Kin Kata:

    Betul. Setuju. Dan memang saya tahu banyak perkara yang boleh diperbetulkan dalam hubungan saya dengan suami, terutamanya jika saya mendengar dahulu apa yang ingin dikatakannya. Malam tadi saya ingin menerangkan sesuatu padanya; dan dia asyik memotong cakap saya sehingga beberapa kali. Ini membuatkan saya mula terasa marah. Tentu itu juga yang dirasakannya bila saya ‘tolong’ menyudahkan kata-katanya; atau memberi pandangan sebelum dia habis bercerita. Dan satu lagi, pernahkah saudara bertanya dan menjawab sendiri pertanyaan saudara? Contohnya, “Lin, kenapa Lin tak dapat balik rumah hujung minggu ni?” Sebelum sempat yang disoal itu menjawab, kita telah ‘membantu’ dia menjawab, “Ada aktiviti di asrama ye?”

    Jika kita terus-terusan berbuat begitu, tentu kita akan gagal untuk mengetahui ‘sebab’ sebenar Lin tidak dapat pulang ke rumah hujung minggu itu. Cara ini akan membantu Lin berbohong, jika dia sedang mencari idea untuk berbohong. Betul tak? Jika kita sering memotong, menyudahkan ayat orang yang agak pendiam karektornya; maka itu akan membuat orang yang pendiam itu akan mematikan niatnya untuk bercakap. Arghhh…

Tinggalkan Komen