Cinta Itu Indah
Cinta itu indah!!! Tentu ramai yang tidak bersetuju dengan kenyataan ini. Kalau kita perhatikan lirik lagu-lagu Melayu, banyak yang menggambarkan cinta sebagai susah dan menyakitkan. Didapati ramai yang menyukai lagu-lagu seperti itu. Bagi saya, penerimaan lagu-lagu tersebut menggambarkan ramai yang menganggap cinta itu susah dan menyakitkan.
Saya melihat cinta itu indah. Rasa cinta dan ingin dicintai adalah fitrah manusia. Sesiapa yang mengatakan tiada cinta di dalam hatinya, dia sebenarnya menipu diri sendiri. Saya meminati lagu-lagu Melayu, saya suka dengan muzik dan iramanya. Namun disebabkan lirik yang tidak menyenangkan, kadang-kadang saya tidak mahu mendengar lagu-lagu tersebut. Saya selalu bertanya kepada diri sendiri tidak bolehkah penulis lirik menulis lirik yang menggambarkan keindahan cinta.
Saya meminati lagu-lagu Ella tetapi lirik bagi beberapa lagu beliau, aduhai…
Sebelum anda membuat sebarang penilaian, biar saya nyatakan terlebih dahulu. Saya bukannya tidak pernah putus cinta. Bukan sekali malah banyak kali dan dalam majoriti kes, bukan saya penyebabnya (jika dilihat dengan mata kasar).
Hari ini saya mengajak saudara/saudari untuk bersama-sama saya melihat cinta dari perspektif, konteks atau sudut yang berbeza dari kebiasaan. Lupakan sementara sebarang pendapat atau tanggapan anda mengenainya.
Mari kita bayangkan senario ini berikut:
Anda jatuh hati dengan seseorang, mungkin kerana dia cantik, segak atau pandai mengambil hati anda. Cinta anda berbalas dan bagi anda, dialah segala-galanya.
Tetapi pada suatu hari;
“Mengapa kau berubah, sedangkan aku masih setia.
Hati ini hancur dan luluh keranamu.” Petikan lirik lagu Ella, lupa tajuknya.
Adakah anda masih cinta kepadanya selepas itu? Jawapan yang biasa diberikan ialah TIDAK. Bukan sahaja tidak cinta malah BENCI.
Mari analisa bersama mengapa kita membenci orang yang kita cintai selepas cinta kita ditolak?
1. Apa benar kita menyintai si dia atau hanya “syok”?
2. Apa benar kita menyintai si dia atau kita hanya inginkan sesuatu darinya (duit, kereta, perlindungan…)?
Jika anda membenci si dia bila ditinggalkan, pendapat saya ialah anda sebenarnya tidak menyintai si dia, tetapi anda mengharapkan sesuatu dari si dia.
Cinta yang sebenar ialah seperti kasih seorang ibu kepada anaknya. Beliau sanggup berbuat apa sahaja untuk anaknya tanpa mengharap apa-apa balasan, kecuali untuk melihat anaknya bahagia.
Alangkah bahagianya pasangan suami isteri jika masing-masing sanggup berbuat apa sahaja demi untuk melihat pasangan masing-masing bahagia tanpa mengharap apa-apa balasan.
Romeo dan Juliet – Bunuh diri kerana cinta atau kerana kecewa tidak mendapat apa yang diinginkan? Tak apalah, itu hanya cerita rekaan.
Pembaca sekalian, renungkan; Adakah anda memerlukan cinta? Jawablah dengan jujur. Kalau jawapan anda ialah “Tidak”, ada sesuatu yang terlindung dari pandangan mata hati anda atau pun anda tidak ingin berbincang mengenainya kerana takut dengan ketidaktentuan masa hadapan.













