Menukar Kaedah Melupakan Kekecewaan
Dalam sesi “coaching” bersama seorang rakan sekerja (kita namakan beliau Mat), beliau menyatakan kekecewaan beliau dengan prestasi seorang staf. Dari perbualan kami ini bukan satu-satunya punca kekecewaan beliau. Ada beberapa staff lagi yang Mat dapati sukar untuk dikawal.
Apa yang berlaku di tempat kerja bukan satu-satunya punca kekecewaan dalam hidup kita. Ada yang kecewa cinta, kecewa dengan isteri, kecewa dengan suami, kecewa dengan sikap anak-anak, sanak saudara, kawan-kawan, jiran dan sebagainya. Kita mengalami kekecewaan dalam perhubungan-perhubungan tersebut kerana perkara yang kita harapkan dari perhubungan tersebut tidak tercapai.
Anda mengharapkan sesuatu dari kekasih anda. Sebagai contoh hadiah pada harijadi, panggilan telefon pada setiap hari atau setidak-tidaknya sms. Jika perkara tersebut tidak terjadi anda kecewa. Atau pun cara dia menyintai anda tidak seperti mana yang anda harapkan, kecewa lagi.
Keadaan yang sama berlaku dengan perhubungan yang lain. Kita mengharapkan sesuatu dari pihak yang satu lagi. Apa yang anda inginkan mungkin keseronokan, wang ringgit, penghormatan, perkhidmatan, perhatian atau pujian. Sekiranya apa yang diharpkan tidak diperolehi, kita akan merasa kecewa dan marah dengan pihak yang satu lagi.
Bagaimana pula perhubungan dengan usaha bagi mencapai sesuatu yang dihajat atau diharapkan? Anda telah melakukan semua yang dirancang dengan bersungguh-sungguh tetapi matlamat yang ditetapkan tidak dapat dicapai. Bagaiman perasaan anda? Ramai yang akan menjawab, kecewa.
Jadi apa yang boleh dilakukan melupakan kekecewaan atau apakah kaedah melupakan kekecewaan yang dialami?
Selagi ego mengawal kehidupan anda, kebanyakan fikiran, emosi dan tindakan anda terlahir dari keinginan atau rasa takut. Di dalam sesuatu perhubungan, anda menginginkan atau takut kehilangan sesuatu (seperti yang dinyatakan di atas) dari seseorang.
Sebagai contoh, ada seorang isteri yang selalu didera (fizikal dan mental) oleh suaminya. Anak-anak beliau sudah besar dan tiada halangan kalau ibu mereka ingin tinggal berasingan. Namun begitu si isteri tetap tinggal bersama-sama suaminya. Ada sesuatu yang beliau inginkan; wang ringgit dari suami, belas kasihan dari jiran-jiran, simpati dan sokongan dari anak-anak dan dapat menyalahkan suami. Sekiranya beliau pergi meninggalkan rumah, semua itu akan hilang. Beliau sebenarnya mempunyai pilihan, kekal dalam kekecewaan atau memperolehi kebahagian.
Jika anda merasa anda mengalami kekecewaan, renungkan apa yang anda perolehi dari situasi tersebut. Renung sedalam-dalamnya, InsyaAllah anda akan mendapat jawapannya.
Bagaimana pula dengan usaha yang tidak menemui kejayaan? Bagaimana kaedah melupakan kekecewaan yang dialami dan meneruskan usaha bagi mencapainya?
Apa yang saya selalu amalkan; saya berusaha untuk mencapai apa yang ingin dicapai namun tidak mengharapkannya. Sebabnya mudah, saya boleh membuat perancangan, melaksanakan apa yang dirancangkan, namun kejayaan bukan terletak pada usaha saya. Berjaya atau tidak sesuatu usaha terletak pada keizinan Allah. Saya boleh berusaha sekuat mungkin, tetapi jika Allah tidak mengizinkan kejayaan tidak akan diperolehi. Saya yakin Allah Maha Adil, jika Dia tidak mengurniakan kejayaan buat saya pada masa itu, itulah yang terbaik buat saya. Saya akan terus berusaha (termasuk doa), pada masa yang sesuai Allah akan mengurniakan kejayaan yang saya impikan. Dengan keyakinan ini, saya tidak merasa kecewa walaupun “gagal”, InsyaAllah.













