Belajar Hidup Pada Masa Sekarang, Bahagian 2.

Sejak Mac tahun lalu saya berhenti menghantar kiriman ke blog ini. Mac tahun lalu saya dinaikkan pangkat dan ditugaskan untuk mengetuai satu bahagian yang mencabar. Sebelum ke sana banyak cerita yang saya dengar mengenai bahagian tersebut. Apabila melaporkan diri saya diberi taklimat mengenai sumber, fungsi dan sasaran produktiviti bahagian saya. Dengan sumber yang ada, saya merasakan banyak yang perlu dilakukan untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.

Selain dari mencapai sasaran produktiviti yang ditetapkan, saya juga perlu melaksana kerja pentadbiran seperti minitkan surat-surat yang diterima (lebih kurang 100 setiap hari), menghadiri mesyuarat (hampir setiap hari) dan bertemu pelanggan serta pembekal. Setiap hari saya terpaksa balik lewat untuk menghabiskan kerja yang dirancang untuk hari tersebut. Begitulah hari saya dan keadaan yang saya yang jangkakan untuk hari esok dan seterusnya. Saya berharap suatu hari nanti saya tidak akan sibuk seperti itu dan saya akan punyai masa untuk diri saya.

Sebelas bulan sudah berlalu dan saya kini ditugaskan di bahagian lain. Adakah saya sudah bebas dari “sasaran”. Meleset sama sekali, tugas yang saya tanggung sekarang lebih berat. Sasaran yang saya tidak pasti sama ada mampu dicapai atau tidak. Apakah saya akan terus menunggu “suatu hari” untuk memiliki masa bagi melakukan perkara yang saya sukai? Sekarang saya sedari bahawa mental yang mengajar saya bahawa “suatu hari” lebih baik dari sekarang juga secara tidak lansung memberitahu “suatu hari” tidak akan tiba. Mental juga yang mengajarkan bahawa esok saya akan menghadapi hari yang sibuk dan saya akan keletihan kerananya. Untuk menjelaskan apa yang dimaksudkan, saya bawakan satu senario:

Bayangkan minggu ini adalah minggu terakhir kita berpuasa, beberapa hari lagi anda akan balik ke kampung untuk beraya bersama ibubapa dan sanak saudara. Apa perasaan anda sekarang? Tentu anda merasa sangat gembira bukan? Siapa yang tidak gembira dapat beraya bersama keluarga dan sanak saudara.

Sekarang bayangkan anda sudah berada di kampung dan esok anda perlu kembali ke Kuala Lumpur (atau mana-mana bandar lain tempat anda bekerja) kerana lusa anda perlu kembali ke pejabat. Apa perasaan anda sekarang? Tentu anda merasa sedih bukan? Mengapa merasa sedih? Sekarangkan anda berada di kampung bersama ibubapa dan sanak saudara. Anda sepatutnya merasa gembira. Minggu lepas, anda merasa gembira semasa bersiap-siap untuk balik ke kampung. Anda tidak sepatutnya gembira kerana masa itu anda masih di Kuala Lumpur dan bukannya di kampung.

Inilah bukti yang kita selalunya hidup di masa hadapan, bukan di masa sekarang. Masa sekarang kita dipenuhi dengan kesedihan masa lampau dan kerisuan tentang masa hadapan. Kita selalu meratapi nasib malang kita di masa lampau. Kita selalu risau sesuatu yang tidak baik akan berlaku kepada kita di masa hadapan. Selain dari itu kita selalu tangguhkan kepuasan hati, kegembiraan dan kesyukuran kerana selalu meyakini diri bahawa “suatu hari” adalah lebih baik daripada hari ini. Yakinilah bahawa minda yang menyatakan “suatu hari” adalah lebih baik dari hari ini akan mengulangi kenyataan yang sama tiap-tiap hari. Justeru “suatu hari” yang dimaksudkan tidak akan muncul.

Apabila kita memfokuskan perhatian kita kepada masa sekarang, kita membuang rasa risau (takut) dari minda kita. Risau kita akan dimarahi boss, tidak naik pangkat, anak tidak mendapat keputusan peperiksaan yang baik dan bermacam-macam lagi. Rasa risau atau takut akan membuat perhubungan kita dengan orang di sekeliling kita renggang dan akan kehilangan peluang menjalani kehidupan yang kita sukai. hilang daya hidup tadi akan mengalir keluar tenaga dan membuat kita tidak bermaya.

Mulai sekarang, saya akan melatih diri saya untuk hidup pada masa sekarang. Saya akan beri penghargaan dan ucapan terima kepada mereka (dan juga diri saya) yang berusaha mencapai sasaran tanpa menunggu esok atau masa yang sesuai. Saya akan berterima kasih dan bersyukur dengan apa yang saya perolehi atau capai sekarang. Saya tidak akan membiarkan masalah lalu dan kerisauan mengenai masa hadapan menutupi kegembiraan saya pada masa sekarang atau hari ini.

Bagaimana dengan anda?

Kongsi Dengan Rakan Melalui: These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • del.icio.us
  • Technorati
  • Netvouz
  • DZone
  • ThisNext
  • StumbleUpon
  • MisterWong
  • Wists
  • Furl
  • YahooMyWeb
  • Reddit
  • Simpy
  • blogmarks

Tinggalkan Komen