Cinta Itu Indah

May 5th, 2008

Cinta itu indah!!! Tentu ramai yang tidak bersetuju dengan kenyataan ini. Kalau kita perhatikan lirik lagu-lagu Melayu, banyak yang menggambarkan cinta sebagai susah dan menyakitkan. Didapati ramai yang menyukai lagu-lagu seperti itu. Bagi saya, penerimaan lagu-lagu tersebut menggambarkan ramai yang menganggap cinta itu susah dan menyakitkan.

Saya melihat cinta itu indah. Rasa cinta dan ingin dicintai adalah fitrah manusia. Sesiapa yang mengatakan tiada cinta di dalam hatinya, dia sebenarnya menipu diri sendiri. Saya meminati lagu-lagu Melayu, saya suka dengan muzik dan iramanya. Namun disebabkan lirik yang tidak menyenangkan, kadang-kadang saya tidak mahu mendengar lagu-lagu tersebut. Saya selalu bertanya kepada diri sendiri tidak bolehkah penulis lirik menulis lirik yang menggambarkan keindahan cinta.

Saya meminati lagu-lagu Ella tetapi lirik bagi beberapa lagu beliau, aduhai…

Sebelum anda membuat sebarang penilaian, biar saya nyatakan terlebih dahulu. Saya bukannya tidak pernah putus cinta. Bukan sekali malah banyak kali dan dalam majoriti kes, bukan saya penyebabnya (jika dilihat dengan mata kasar).

Hari ini saya mengajak saudara/saudari untuk bersama-sama saya melihat cinta dari perspektif, konteks atau sudut yang berbeza dari kebiasaan. Lupakan sementara sebarang pendapat atau tanggapan anda mengenainya.

Mari kita bayangkan senario ini berikut:

Anda jatuh hati dengan seseorang, mungkin kerana dia cantik, segak atau pandai mengambil hati anda. Cinta anda berbalas dan bagi anda, dialah segala-galanya.

Tetapi pada suatu hari;

“Mengapa kau berubah, sedangkan aku masih setia.

Hati ini hancur dan luluh keranamu.” Petikan lirik lagu Ella, lupa tajuknya.

Adakah anda masih cinta kepadanya selepas itu? Jawapan yang biasa diberikan ialah TIDAK. Bukan sahaja tidak cinta malah BENCI.

Mari analisa bersama mengapa kita membenci orang yang kita cintai selepas cinta kita ditolak?

1. Apa benar kita menyintai si dia atau hanya “syok”?

2. Apa benar kita menyintai si dia atau kita hanya inginkan sesuatu darinya (duit, kereta, perlindungan…)?

Jika anda membenci si dia bila ditinggalkan, pendapat saya ialah anda sebenarnya tidak menyintai si dia, tetapi anda mengharapkan sesuatu dari si dia.

Cinta yang sebenar ialah seperti kasih seorang ibu kepada anaknya. Beliau sanggup berbuat apa sahaja untuk anaknya tanpa mengharap apa-apa balasan, kecuali untuk melihat anaknya bahagia.

Alangkah bahagianya pasangan suami isteri jika masing-masing sanggup berbuat apa sahaja demi untuk melihat pasangan masing-masing bahagia tanpa mengharap apa-apa balasan.

Romeo dan Juliet – Bunuh diri kerana cinta atau kerana kecewa tidak mendapat apa yang diinginkan? Tak apalah, itu hanya cerita rekaan.

Pembaca sekalian, renungkan; Adakah anda memerlukan cinta? Jawablah dengan jujur. Kalau jawapan anda ialah “Tidak”, ada sesuatu yang terlindung dari pandangan mata hati anda atau pun anda tidak ingin berbincang mengenainya kerana takut dengan ketidaktentuan masa hadapan.

Kongsi Dengan Rakan Melalui: These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • del.icio.us
  • Technorati
  • Netvouz
  • DZone
  • ThisNext
  • StumbleUpon
  • MisterWong
  • Wists
  • Furl
  • YahooMyWeb
  • Reddit
  • Simpy
  • blogmarks

Menukar Kaedah Melupakan Kekecewaan

April 23rd, 2008

Dalam sesi “coaching” bersama seorang rakan sekerja (kita namakan beliau Mat), beliau menyatakan kekecewaan beliau dengan prestasi seorang staf. Dari perbualan kami ini bukan satu-satunya punca kekecewaan beliau. Ada beberapa staff lagi yang Mat dapati sukar untuk dikawal.

Apa yang berlaku di tempat kerja bukan satu-satunya punca kekecewaan dalam hidup kita. Ada yang kecewa cinta, kecewa dengan isteri, kecewa dengan suami, kecewa dengan sikap anak-anak, sanak saudara, kawan-kawan, jiran dan sebagainya. Kita mengalami kekecewaan dalam perhubungan-perhubungan tersebut kerana perkara yang kita harapkan dari perhubungan tersebut tidak tercapai.

Anda mengharapkan sesuatu dari kekasih anda. Sebagai contoh hadiah pada harijadi, panggilan telefon pada setiap hari atau setidak-tidaknya sms. Jika perkara tersebut tidak terjadi anda kecewa. Atau pun cara dia menyintai anda tidak seperti mana yang anda harapkan, kecewa lagi.

Keadaan yang sama berlaku dengan perhubungan yang lain. Kita mengharapkan sesuatu dari pihak yang satu lagi. Apa yang anda inginkan mungkin keseronokan, wang ringgit, penghormatan, perkhidmatan, perhatian atau pujian. Sekiranya apa yang diharpkan tidak diperolehi, kita akan merasa kecewa dan marah dengan pihak yang satu lagi.

Bagaimana pula perhubungan dengan usaha bagi mencapai sesuatu yang dihajat atau diharapkan? Anda telah melakukan semua yang dirancang dengan bersungguh-sungguh tetapi matlamat yang ditetapkan tidak dapat dicapai. Bagaiman perasaan anda? Ramai yang akan menjawab, kecewa.

Jadi apa yang boleh dilakukan melupakan kekecewaan atau apakah kaedah melupakan kekecewaan yang dialami?

Selagi ego mengawal kehidupan anda, kebanyakan fikiran, emosi dan tindakan anda terlahir dari keinginan atau rasa takut. Di dalam sesuatu perhubungan, anda menginginkan atau takut kehilangan sesuatu (seperti yang dinyatakan di atas) dari seseorang.

Sebagai contoh, ada seorang isteri yang selalu didera (fizikal dan mental) oleh suaminya. Anak-anak beliau sudah besar dan tiada halangan kalau ibu mereka ingin tinggal berasingan. Namun begitu si isteri tetap tinggal bersama-sama suaminya. Ada sesuatu yang beliau inginkan; wang ringgit dari suami, belas kasihan dari jiran-jiran, simpati dan sokongan dari anak-anak dan dapat menyalahkan suami. Sekiranya beliau pergi meninggalkan rumah, semua itu akan hilang. Beliau sebenarnya mempunyai pilihan, kekal dalam kekecewaan atau memperolehi kebahagian.

Jika anda merasa anda mengalami kekecewaan, renungkan apa yang anda perolehi dari situasi tersebut. Renung sedalam-dalamnya, InsyaAllah anda akan mendapat jawapannya.

Bagaimana pula dengan usaha yang tidak menemui kejayaan? Bagaimana kaedah melupakan kekecewaan yang dialami dan meneruskan usaha bagi mencapainya?

Apa yang saya selalu amalkan; saya berusaha untuk mencapai apa yang ingin dicapai namun tidak mengharapkannya. Sebabnya mudah, saya boleh membuat perancangan, melaksanakan apa yang dirancangkan, namun kejayaan bukan terletak pada usaha saya. Berjaya atau tidak sesuatu usaha terletak pada keizinan Allah. Saya boleh berusaha sekuat mungkin, tetapi jika Allah tidak mengizinkan kejayaan tidak akan diperolehi. Saya yakin Allah Maha Adil, jika Dia tidak mengurniakan kejayaan buat saya pada masa itu, itulah yang terbaik buat saya. Saya akan terus berusaha (termasuk doa), pada masa yang sesuai Allah akan mengurniakan kejayaan yang saya impikan. Dengan keyakinan ini, saya tidak merasa kecewa walaupun “gagal”, InsyaAllah.

Kongsi Dengan Rakan Melalui: These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • del.icio.us
  • Technorati
  • Netvouz
  • DZone
  • ThisNext
  • StumbleUpon
  • MisterWong
  • Wists
  • Furl
  • YahooMyWeb
  • Reddit
  • Simpy
  • blogmarks

Penemuan Hebat dan Memberangsangkan

April 10th, 2008

Anda sudah berkali-kali mendengar mengenai perkara ini, jadi saya ceritakan serba ringkas mengenainya. Otak kiri anda, otak sedar, biasanya memberi tumpuan kepada makna perkataan yang didengarnya. Otak kanan pula, otak bawah sedar, menumpukan kepada nada suara, mimik muka dan bahasa badan.

Ada satu penemuan baru mengenai otak kiri dan otak kanan yang menarik hati saya. Otak manusia sememangnya mempunyai dua bahagian, kiri dan kanan, yang terpisah. Kedua-duanya memproses maklumat dengan cara yang berbeza dan berkomunikasi antara satu sama lain melalui korpus kalosum. Otak kiri berfikir mengenai perkara yang pernah anda lalui dan pelajari lalu memancarkannya ke masa hadapan anda. Jika anda pernah gagal dalam sesuatu usaha (termasuk cinta) dan ianya memberi kesan kepada anda, otak kiri akan mengarah anda supaya tidak lagi terlibat dengan usaha berkenaan. Otak kanan pula berfikir mengenai masa sekarang, bebas dari pengalaman masa lalu. Bayangkan apa maknanya kepada kehidupan anda. Ketenangan fikiran, fikiran yang bebas dari segala kerisauan.

Apa yang akan dirasai atau dialami sekiranya otak kiri anda tidak berfungsi? Antaranya anda tidak boleh bercakap, tidak boleh berjalan dll. Itulah yang terjadi kepada Jill Bolte, seorang pakar penyelidik otak. Beliau mendapat strok, otak kiri beliau kadang-kadang berfungsi dan kadang-kadang tidak berfungsi. Beliau mengambil masa selama lapan tahun untuk sembuh dari strok. Namun dalam tempoh mengalami strok tersebut, beliau berpeluang membuat kajian ke atas otak beliau sendiri. Beliau dapat rasakan bagaimana keadaan bila otak kiri tidak berfungsi.

Bila otak kiri tidak berfungsi, beliau tidak lagi nampak bentuk tubuhnya. Ini kerana atom dan molekul tubuhnya nampak bercampur dengan atom dan molekul benda di sekelilingnya. Beliau terpukau dengan tenaga yang berada di sekeliling dirinya dan merasakan ianya sungguh indah. Ketika otak kiri tidak berfungsi Dr. Jill dapat merasakan yang manusia adalah satu medan tenaga, dan mempunyai pertalian dengan medan tenaga yang lain. Melalui kesedaran otak kanan, beliau merasakan kita semua adalah bersaudara tanpa mengira bangsa dan agama. Kita semua berada di sini untuk memakmurkan dunia. Di ketika ini, kejadian kita sudah sempurna, lengkap dan cantik. Bila otak kiri kembali berfungsi, apa yang dirasai ialah kepentingan diri sendiri.

Anda boleh mendengar ucapan Dr. Jill dan melihat rupa otak manusia sebenar melalui video di bawah:

Untuk merasa bahagia, selalu-selalulah menggunakan otak kanan. Untuk mendapat tips bagaimana cara hendak menggunakan otak kanan, dapatkan buku atau tape Dato’ Dr. Mohd Fadzilah Kamsah atau pakar motivasi yang lain.

Kongsi Dengan Rakan Melalui: These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • del.icio.us
  • Technorati
  • Netvouz
  • DZone
  • ThisNext
  • StumbleUpon
  • MisterWong
  • Wists
  • Furl
  • YahooMyWeb
  • Reddit
  • Simpy
  • blogmarks