Pelakon Pentas Dunia

July 19th, 2008

Setiap dari kita adalah pelakon di pentas dunia. Kita semua terlibat dalam pementasan drama yang dinamakan “Kehidupan Saya”. Drama tersebut mempunyai tiga babak:

Babak Pertama: Masa Lalu - Di mana anda telah melakonkannya dengan begitu baik. Watak yang dilakonkan itu bukanlah diri anda yang sebenarnya. Ia adalah sesuatu yang anda tuliskan tetapi kemudian anda lupa yang anda menulisnya. Justeru anda percaya ia adalah anda yang sebenarnya.

Babak Kedua: Masa Kini - Di mana anda tiada pilihan kecuali memainkan watak yang diwarisi dari masa lalu. Watak saya yang dapat saya cungkil ialah “tiada siapa akan mengambil kesempatan, tipu atau akan terlepas jika melakukan kesalahan terhadap saya”. Saya nampak watak ini hidup bila saya bersama ahli keluarga atau rakan-rakan.

Saya berikan satu contoh untuk menggambarkan bagaimana watak ini “mengawal” diri saya. Saya begitu perihatin dalam menepati masa. Saya masih ingat dulu jika berjanji dengan rakan-rakan, saya sengaja menetapkan waktu yang janggal seperti 2.23 petang. Jika rakan sampai lambat dari waktu yang dijanjikan, saya dapati diri menjadi marah, kecewa ataupun sakit hati. Orang kata kalau janji dengan teman wanita satu jam pun sanggup tunggu, tetapi saya tidak. Jika tidak sampai dalam masa sepuluh minit selepas waktu yang dijanjikan, saya akan cabut. Watak yang saya mainkan membuat saya menganggap rakan tersebut mengambil kesempatan ke atas diri atau tipu saya.

Babak Ketiga: Masa Hadapan - Sesaat atau seminit dari sekarang. Di babak ini anda mempunyai pilihan untuk tidak melakonkan watak yang telah dilakonkan sebelumnya. Cermin diri dan lihat apa watak yang dilakonkan kemudian buat pilihan samada ingin berhenti atau terus melakonkan watak tersebut. Apa yang anda akan dapat darinya? Kebahagiaan!!! Ingatlah, kajian sains telah membuktikan bahawa kebahagian sejati tidak wujud bersama-sama dengan “mementingkan diri”.

Seorang rakan saya mencermin diri dan melihat watak yang dimainkannya ialah “aku insan yang tidak berdaya, tolong bantu aku”. Antara kesan dari watak ini ke atas dirinya; beliau melihat “masalah” dalam kebanyakan perkara dan selalu merasa risau. Beliau selalu mengadu “masalahnya” kepada pasangan hidupnya, yang selalu membuat pasangannya rasa tertekan.

Beliau telah memilih untuk tidak melakonkan lagi watak tersebut. Beliau tidak lagi melihat “masalah” dalam sesuatu perkara. Beliau tidak lagi “mengharap” masalah datang dan cuba “melawannya” bagi menghidupkan watak yang dimainkan sebelum ini. Sekiranya beliau menghadapi masalah, beliau akan lihat apa yang boleh beliau lakukan untuk menyelesaikan. Sekiranya masalah tersebut tidak termampu untuk beliau selesaikan, beliau akan meminta bantuan. Dalam keadaan ini, betul ada masalah dan bukannya risau tidak tentu pasal, orang akan sedia membantu. Ramai orang yang suka membantu orang yang berada dalam kesusahan “sejati” kerana dengan membantu orang lain mengubah hidupnya, beliau akan merasa kebahagiaan sejati.

Kongsi Dengan Rakan Melalui: These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • del.icio.us
  • Technorati
  • Netvouz
  • DZone
  • ThisNext
  • StumbleUpon
  • MisterWong
  • Wists
  • Furl
  • YahooMyWeb
  • Reddit
  • Simpy
  • blogmarks

Belenggu Minda - 1

July 12th, 2008

Suatu petang anak saya bertanya pada saya, “Abah, apa benda yang menjadi beku bila kena panas?”

Minda saya dengan cepat menilai kemunasabahan perkara yang diutarakan. Sebagai seorang yang berpelajaran, saya dengan pantas mengaitkannya dengan proses pembekuan. Sesuatu benda hanya akan menjadi beku bila berada di dalam suhu di bawah paras kosong darjah Celsius.

Apa yang datang di fikiran saya, “Ini mesti soalan trick. Mana ada benda jadi beku bila kena panas.”

Itulah keyakinan saya pada masa itu. Justeru saya mencari jawapan dalam sudut pandangan atau lingkungan tersebut. Lingkungan yang dibataskan oleh ilmu pengetahuan yang diperolehi sebelum ini. Pemikiran saya terhad kepada belenggu atau saringan yang saya sendiri adakan. Akhirnya saya tidak menemui jawapan yang dicari.

“Okay, Abah dah give up?” Tanya anak saya. Saya menjawab ya dan bertanyakan jawapannya.

“Telur.” Jawab anak saya. “Bila direbus, ia akan jadi keras.”

Semua orang tahu telur akan menjadi keras bila direbus. Tetapi saya tidak terfikirkannya dan menjadi buntu kerana mencari jawapan dari sudut pandangan “beku”. Adakah situasi ini terjadi dalam permainan teka-teki sahaja atau ia merangkumi keseluruhan aspek kehidupan kita seharian? Tentu anda bersetuju bahawa ianya merangkumi keseluruhan aspek kehidupan kita. Kalau diteliti, kita selalu meletakkan batasan ke atas kemampuan kita dalam banyak perkara.

Kongsi Dengan Rakan Melalui: These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • del.icio.us
  • Technorati
  • Netvouz
  • DZone
  • ThisNext
  • StumbleUpon
  • MisterWong
  • Wists
  • Furl
  • YahooMyWeb
  • Reddit
  • Simpy
  • blogmarks

Permainan Kehidupan

July 7th, 2008

Sebelum saya bercerita mengenai permainan kehidupan, saya ingin mengambil permainan bolasepak sebagai analogi. Kita ambil pertandingan Bolasepak Euro 2008 yang baru saja berakhir di mana Sepanyol berjaya menjadi juara, buat pertama kali dalam tempoh 44 tahun.

Seronok tak menonton perlawanan Euro 2008? Adakah sama dengan Euro 2004? Bagi peminat setia England, kemungkinan besar ianya tidak seseronok semasa England turut bertanding. Apa yang ada dalam sesuatu perlawanan yang membuat anda seronok? Sebelum itu cuba tanya diri; yang mana lagi seronok antara latihan dengan perlawanan sebenar? Antara perlawanan persahabatan dengan perlawanan kejohanan? Sudah tentu perlawanan sebenar lebih seronok dari latihan dan perlawanan kejohanan lebih seronok dari persahabatan. Kenapa?

1. Dalam perlawanan ada skor. Skor yang membuat kita seronok dan teruja. Kita bersorak bila pasukan kita skor gol.

2. Kenapa seronok bila pasukan kita skor? Sebab pasukan yang skor lebih banyak dalam masa yang ditetapkan dikira pemenang. Seronokkah kalau pasukan yang skor lebih banyak dikira kalah? Atau seronokkah skor banyak tapi tidak ditetapkan bila permainan akan berakhir? Ini yang dipanggil undang-undang permainan.

3. Kenapa seronok sangat bila pasukan anda menang? Sebelum itu, seronokkah kalau perlawanan yang dimenangi itu adalah untuk menentukan kedudukan di tangga ketujuh dari duabelas pasukan? Tentu tidak berapa seronok kan? Kenapa? Sebab ada seseuatu yang dipertaruhkan. Semakin besar pertaruhan, semakin seronoklah bila mencapai kemenangan. Rasa seronok memenangi perlawanan akhir adalah lebih dari seronok memenangi perlawanan menentukan tempat ketiga.

Sekarang saya ingin membawa pembaca sekalian kepada permainan kehidupan. Setiap dari kita adalah pemain dalam permainan kehidupan walaupun kita memilih untuk tidak bermain. Kalau kita tidak bermain, kehidupan akan memainkan kita. Tiada istilah penonton dalam permainan kehidupan.

Bagaimana kita hendak membawa keseronokan dalam permainan kehidupan, atau dengan kata lain kebahagian hidup? Ramai di antara kita yang menjadikan permainan kehidupan seperti permainan lain. Kita adakan skor untuk kita rasa seronok. Contoh skor; skor semua “A” dalam peperiksaan, mendapat pekerjaan yang diidamkan, berjaya beristerikan/bersuamikan gadis/jejaka idaman dan sebagainya.

Seronokkah kalau skor semua “A” dalam SPM tetapi tidak dapat masuk universiti, tidak dapat biasiswa atau tidak dihargai langsung? Tentu tidak seronok kan, malah kecewa pula. Yang membuat seronok bukannya “A”, tetapi apa yang dikaitkan dengan mendapat “A”.

Kenapa seronok mendapat pekerjaan yang diidamkan? Kerana ia dikaitkan dengan jaminan hidup dan status di mata masyarakat. Seronokkah menjadi petani setelah bertahun-tahun bertungkus lumus untuk mendapat segulung ijazah? Sudah tentu ramai yang menjawab tidak seronok.

Bagaimana kalau saya katakan kita mengadakan undang-undang permainan kehidupan untuk membuat kita rasa seronok. Kemudian kita lupa kita yang membuat undang-undang tersebut dan menganggapnya sebagai satu kebenaran. Bila kita tidak memenangi sesuatu perlawanan, kita merasa kecewa dan menganggap hidup ini penuh dengan kedukaan.

Berbalik kepada permainan bolasepak. Apa yang anda suka mengenainya?

Saya suka melihat jaringan gol yang cantik; pemain mengambil sepakan bebas dan melengkungkan bola ke dalam gol, seperti David Beckham; pemain menggelecek bola dengan gaya tersendiri, seperti Zinadine Zidane. Bila saya fokuskan kepada apa yang saya suka dalam sesuatu perlawanan, saya merasa seronok walaupun pasukan yang saya minati kalah.

Begitu juga dengan permainan kehidupan. Jika kita fokuskan kepada apa yang kita suka dalam kehidupan, kita akan merasa bahagia walaupun kita tidak mencapai “kejayaan”. Anda mungkin suka membantu orang lain, justeru anda akan merasa bahagia bila dapat membantu membawa perubahan kepada orang lain walaupun anda sendiri tidak mencapai “kejayaan” dalam hidup. Seorang ibu merasa bahagia melihat anaknya berjaya hasil dari didikannya walaupun beliau sendiri tidak “berjaya”.

Kongsi Dengan Rakan Melalui: These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • del.icio.us
  • Technorati
  • Netvouz
  • DZone
  • ThisNext
  • StumbleUpon
  • MisterWong
  • Wists
  • Furl
  • YahooMyWeb
  • Reddit
  • Simpy
  • blogmarks