Marah atau Maafkan, Pilih

September 24th, 2008

Jumaat lepas seorang kawan menelefon saya bertanyakan tentang produk kesihatan yang saya dan keluarga gunakan. Saya ceritakan serba sedikit dan beliau ingin tahu lebih lanjut. Kami berjanji untuk berjumpa di PJ jam 2.00 petang Sabtu. Saya bertanya perlukah saya telefon dia semula untuk “confirm”. Beliau kata tak perlu, dah kira “confirm”.

Jam 1.30 saya bertolak dari Shah Alam ke PJ dan terpaksa mengharungi kesesakan di Lebuhraya Persekutuan. Kira-kira jam 1.50 kawan saya telefon dan memberitahu yang beliau tak dapat datang.

“Kau masih di Shah Alam lagikan?”

“Tak, aku dah nak sampai dah.”

“Maaflah.” Katanya. “Aku tak sempat nak pergi.”

Jika anda berada di tempat saya, apa yang anda akan rasa? Puasa lagi, jalan sesak lagi, banyak kerja nak buat kat rumah lagi dan macam-macam.

Saya bersyukur kerana tidak “panas hati”. Kalau saya berada dalam keadaan yang sama beberapa tahun yang lepas, besar kemungkinan saya akan “panas hati”. Dia tak tahu ke Lebuhraya Persekutuan tu selalu sesak. Kalau tak jadi, beritahulah awal-awal lagi. Kita dah nak sampai baru bagitahu, buang masa orang je. Dan macam-macam lagi yang terkeluar di fikiran, dan saya akan balik ke rumah dengan perasaan marah.

Itu cerita dulu, sekarang InsyaAllah tidak lagi. Apa rahsianya?

Rahsianya, saya memilih untuk tidak menyalahkan kawan saya tu walaupun saya tahu dia salah. Kalau saya memilih untuk menyalahkannya, terutamanya kerana dia dah kata “confirm”, saya akan merasa marah. Permintaan maaf tidak boleh meredakan hati yang dah panas. Kalau tak dapat datang, sepatutnya telefon awal sikit, sebelum orang keluar rumah. Minyak habis, bayar tol lagi, jalan sesak lagi.

“SELAMAT MENYAMBUT IDIL FITRI – MAAF ZAHIR DAN BATIN” kepada semua pembaca berugama Islam.

“SELAMAT BERCUTI” untuk pembaca lain.

Kongsi Dengan Rakan Melalui: These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • del.icio.us
  • Technorati
  • Netvouz
  • DZone
  • ThisNext
  • StumbleUpon
  • MisterWong
  • Wists
  • Furl
  • YahooMyWeb
  • Reddit
  • Simpy
  • blogmarks

Formula Kemenangan

August 27th, 2008

Setiap dari kita mempunyai tiga identiti utama yang merupakan senjata untuk kita menang di dalam permainan kehidupan. Identiti ini juga dikenali sebagai formula kemenangan dan ia terbentuk disebabkan sesuatu peristiwa yang berlaku. Identiti pertama terbentuk di zaman kanak-kanak, identiti kedua di zaman remaja dan identiti ketiga di zaman dewasa. Walaupun identiti ini diperlukan untuk menang dalam permainan, namun kadang-kadang ia mengekang kehidupan kita lantas membuat kita tidak bahagia.

Anda perlu mengenali identiti ini untuk mengawalnya dari mengekang kehidupan anda. Anda hanya akan menggunakan identiti ini bila anda perlu atau ingin menang. Sekira tidak dikawal, anda secara otomatik akan menjadi identiti anda pada setiap masa. Identiti ini ada kalanya akan memberi masalah kepada anda.

Bagaimana identiti ini terbentuk? Identiti terbentuk apabila sesuatu berlaku dalam hidup kita dan kita perlu lakukan sesuatu untuk “hidup”.

Di zaman kanak-kanak; berlaku sesuatu dan anda mengatakan sesuatu tidak kena di sini. Contoh – Kehormatan Zuraidah cuba dicabul. Beliau berjaya mengelak kecelakaan dengan membuat helah. Identiti yang terbentuk, licik. Identiti licik membuatkan Zuraidah memperolehi apa yang diinginkan dalam kehidupan. Namun kelicikan beliau membuatkan rumahtangga beliau hancur.

Di zaman remaja; berlaku sesuatu dan anda mengatakan anda bukan sebahagian dari mereka (not belong). Contoh – Hamid mempunyai masalah dengan teman perempuannya dan tidak tahu apa nak dibuat. Teman perempuan ini adalah segala-gala baginya. Beliau meminta nasihat namun mereka tidak mahu menolong kerana ada masalah masing-masing. Beliau membuat keputusan sendiri dan berjaya menyelesaikan masalah. Identiti yang terbentuk, berdikari. Berdikari ni bagus, tetapi jika anda bekerja dalam kumpulan, akhirnya semua kerja anda yang buat kerana anda tidak selesa berkongsi kerja. Ahli lain tiada peluang untuk memberi sumbangan. Kerja mungkin siap, tetapi kualiti yang terhasil dari idea satu orang adalah lebih rendah dari yang terhasil dari idea ramai orang.

Di zaman dewasa; berlaku sesuatu dan anda mengatakan anda berseorangan (on your own). Contoh – Abdullah gagal dalam peperiksaan untuk pengesahan dalam jawatan. Rakan-rakan yang lain semuanya lulus dan telah disahkan dalam jawatan. Dulu beliau dan rakan sama-sama belajar untuk lulus peperiksaan tersebut, kini beliau berseorangan. Beliau baca dan membaca semua buku-buku berkenaan berkali-kali untuk lulus peperiksaan. Beliau lulus selepas itu. Identiti yang terbentuk, rajin belajar. Rajin belajar ni bagus. Namun ada kalanya ia mengekang anda, anda tidak berkeyakinan untuk melaksana ilmu yang sudah dimiliki tetapi terus mencari lebih lagi. Akhirnya, anda tidak mempraktikkan ilmu yang diperolehi.

Justeru, gunakanlah identiti anda bila perlu sahaja demi untuk kebaikan diri anda, orang yang anda sayangi dan organisasi anda.

Kongsi Dengan Rakan Melalui: These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • del.icio.us
  • Technorati
  • Netvouz
  • DZone
  • ThisNext
  • StumbleUpon
  • MisterWong
  • Wists
  • Furl
  • YahooMyWeb
  • Reddit
  • Simpy
  • blogmarks

Tak Kan Kubiarkan Hatiku Luka Lagi

August 23rd, 2008

“Luka pertama yang paling dalam.” – Rod Stewards.

Jika luka pertama yang paling dalam, luka berikutnya tentulah tidak berapa dalam kan? Namun kenapa ramai tidak mahu, “Hatiku luka lagi”.Mari kita sama-sama membaca cerita Zuraidah.

Zuraidah telah bercerai sejak 20 tahun yang lalu. Sehingga sekarang Zuraidah masih belum berkahwin lagi walaupun telah beberapa kali mempunyai teman lelaki. Perhubungan Zuraidah dengan teman lelakinya tidak kekal lama. Dalam setiap perpisahan tersebut, teman lelakilah puncanya. Apa benar begitu? Ada sesuatu yang tidak kena dengan kaum lelaki?

“Ada yang tidak kena dengan semua lelaki yang mengenali diriku atau ada yang tidak kena tentang diriku?” fikir Zuraidah.

Zuraidah merasakan perlu mencari jawapan. Beliau mengembara kembali ke zaman silam, ke zaman kanak-kanak dan zaman remaja beliau.

Peristiwa yang berlaku ketika beliau berusia 12 tahun timbul kembali. Peristiwa di mana bapa saudara beliau cuba mencabul kehormatan beliau. Namun beliau terlepas dari kecelakaan dengan membuat helah.

Di saat itu beliau terfikir, “Ada sesuatu yang tidak kena di sini.” Ketika itu, tanpa disedari, tertanam satu kepercayaan, “lelaki tidak boleh dipercayai”.

Fenomena ini berlaku kepada semua orang, yang berbeza cuma peristiwa. Pada ketika itu tertanam kepercayaan mengikut apa yang berlaku dan ianya menjadi lebih mendalam dengan berlakunya peristiwa lain. Begitulah yang berlaku kepada Zuraidah. Ketika berada di Tingkatan 5, beliau cuba diperkosa oleh guru beliau ketika datang ke bilik untuk meminta bantuan menjawab soalan latihan. Apa yang berlaku menguatkan lagi kepercayaan “lelaki tidak boleh dipercayai”.

Selain dari itu ada beberapa peristiwa lain yang membentuk kepercayaan dalam diri Zuraidah. Di sepanjang zaman kanak-kanak dan remaja, beliau selalu melihat ibu dan bapanya bergaduh dan sering kali beliau melihat ibu menangis. Beliau kehidupan ibu tidak bahagia. Bagi Zuraidah, “cinta itu menyakitkan”.

Zuraidah melangkah ke alam perkahwinan dengan membawa dua kepercayaan yang tanpa disedari mempengaruhi fikiran, pembawaan dan tindakan beliau dalam soal rumahtangga. Beliau tidak mahu terluka kerana bagi beliau, ia sangat menyakitkan. Beliau juga perlu berhati-hati dengan suaminya kerana “lelaki tidak boleh dipercayai”. Zuraidah mempersiapkan diri agar tidak terluka jika ditakdirkan ditinggalkan oleh suami. Zuraidah menjadikan dirinya seorang yang berdikari, dia tidak mahu meminta sebarang bantuan dari suami termasuk wang ringgit. Beliau tidak mahu merasa kehilangan tempat bergantung jika ditakdirkan berpisah. Beliau tidak meminta bantuan suami ketika mahu melahirkan anak dan juga membesarkan anak-anak. Dipendekkan cerita, suami Zuraidah pergi meninggalkan Zuraidah ketiga beliau baru melahirkan anak mereka yang ketiga.

“Awak boleh menjaga diri awak dan anak-anak awak.” Itulah yang diucapkan oleh suami Zuraidah ketika pergi meninggalkannya dengan membawa kereta milik Zuraidah.

Tidak lama selepas itu Zuraidah mendapat cerita yang suaminya pergi kerana tidak tahan dengan perangai Zuraidah yang suka memicit ubat gigi di bahagian tengah walaupun sudah berkali-kali diingatkan.

Setelah sudah merasa bersedia, Zuraidah membenarkan dirinya untuk jatuh cinta lagi. Dia akui yang hidup ini tidak lengkap tanpa cinta, tanpa perkongsian hidup dengan orang yang disayangi. Beliau berkenalan dengan seorang duda namun perhubungan mereka tidak kekal lama. Zuraidah memutuskan hubungan mereka bila terasa ada rintangan dalam perhubungan. Kepercayaan “cinta itu menyakitkan” dan “lelaki tidak boleh dipercayai” membuatkan Zuraidah mengambil tindakan tersebut bagi melindungi diri beliau dari ditinggalkan dan terluka. Begitu jugalah kisah cinta Zuraidah dengan beberapa lelaki selepas si duda tadi.

Sembilan tahun sudah berlalu, kini Zuraidah sedar akan “kesilapan” beliau. Beliau memaafkan diri sendiri, ibu dan bapa, bekas suami, guru dan bapa saudara. Kini beliau sudah menjalin satu hubungan baru. Hubungan kali ini dibina dalam ruang lingkup yang berbeza, yang bebas dari kekangan masa lalu. Kali ini Zuraidah memberi 100% komitmen untuk memastikan percintaannya membawa ke jinjang pelamin dan berkekalan hingga ke akhir hayat. Jika ditakdirkan terputus di tengah jalan, beliau bersedia menerima seadanya. Tiada apa yang patut dikesalkan kerana sesuatu itu sempurna seadanya (telah tertulis). Beliau tidak perlu merasa tersinggung kerana jika berlaku perpisahan beliau tahu yang beliau telah memberi yang terbaik, cuma pasangan beliau yang tidak menyedarinya.

Zuraidah baru sahaja mendirikan rumahtangga beliau dengan Bakhtiar minggu lepas. Kali ini beliau memberi peluang kepada suami untuk menjadi sebahagian dari dirinya. Tiada lagi perisai yang perlu disediakan kerana walau apapun yang bakal berlaku, beliau akan menerima seadanya. Tiada makna atau cerita akan diberi kepada apa yang bakal berlaku kerana semuanya sempurna seadanya (tiada sesuatu yang berlaku tanpa izinNya, dan Allah itu Maha Adil dan Maha Penyayang).

[Kini Zuraidah telah tahu sebab sebenar beliau diceraikan. Bekas suami merasakan diri beliau tidak diperlukan dalam kehidupan Zuraidah, beliau merasa tersisih. Justeru tiada guna beliau tunggu lebih lama kerana Zuraidah sudah membuat keputusannya. Untuk pengetahuan, hubungan Zuraidah dengan bekas suami kini adalah baik. Mereka sama-sama menjalankan tanggungjawab membesarkan anak-anak mereka.]

Kongsi Dengan Rakan Melalui: These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Digg
  • del.icio.us
  • Technorati
  • Netvouz
  • DZone
  • ThisNext
  • StumbleUpon
  • MisterWong
  • Wists
  • Furl
  • YahooMyWeb
  • Reddit
  • Simpy
  • blogmarks